Skip to main content

Dunia

Mahkamah Israel lanjutkan tempoh penahanan dua aktivis Gaza flotilla hingga 10 Mei

Sebuah mahkamah Israel melanjutkan selama enam lagi hari tempoh penahanan dua aktivisi yang diberkas di atas bot flotila dalam perjalanan ke Gaza, yang dipintas oleh tentera Israel ketika di perairan antarabangsa berhampiran Greece.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah Israel lanjutkan tempoh penahanan dua aktivis Gaza flotilla hingga 10 Mei

Aktivis Brazil Thiago Avila diiringi ke mahkamah di bandar Ashkelon di Israel pada 5 Mei 2026. (Gambar: AFP/Ilia Yefimovich)

Diterbitkan : 06 May 2026 10:10AM Dikemas Kini : 06 May 2026 10:13AM
BAITULMAKDIS: Sebuah mahkamah Israel melanjutkan selama enam lagi hari tempoh penahanan dua aktivisi yang diberkas di atas bot flotila dalam perjalanan ke Gaza, yang dipintas oleh tentera Israel ketika di perairan antarabangsa berhampiran Greece.

Warga Sepanyol, Saif Abu Keshek dan warga Brazil, Thiago Avila ditahan oleh pihak berkuasa Israel pada Rabu lalu dan dibawa ke Israel, sementara lebih 100 aktivis pro Palestin di atas bot itu dibawa ke pulau Crete di Greece.

Penahanan Abu Keshek dan Avila pada awalnya dilanjutkan sehingga Selasa, namun Mahkamah Majistret Ashkelon melanjutkannya lagi sehingga 10 Mei.

Para aktivis itu merupakan sebahagian daripada Global Sumud Flotilla yang dilancarkan dalam usaha menembusi sekatan Israel terhadap Gaza dengan menghantar bantuan kemanusiaan.

Bot itu belayar dari Barcelona pada 12 April.

Dokumen mahkamah menunjukkan bahawa Israel menuduh Abu Keshek dan Avila atas kesalahan termasuk membantu muruh, hubungan dengan ejen asing dan pertubuhan pengganas, aktiviti terlarang melibatkan komponen pengganas dan memberikan bantuan kepada pertubuhan pengganas.

"Saya yakin tiada ragu-ragu lagi," kata Hakim Yaniv Ben-Haroush setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak dalam meluluskan tempoh pelanjutan itu.

Peguam bagi kumpulan hak asasi kemanusiaan Adalah berhujah semasa perbicaraan itu bahawa tuduhannya tidak berasas dan tiada asas undang-undang untuk terus menahan kedua-dua lelaki itu.

Mereka menyatakan tiada tuduhan rasmi difailkan dan penahanan mereka adalah bagi tujuan siasatan yang sedang dijalankan.

Adalah menyatakan pihaknya akan merayu keputusan itu dan menuntut pelepasan segera dan tanpa bersyarat Abu Keshek dan Avila.

Ia juga menyatakan kedua-dua lelaki itu didera ketika dalam tahanan - satu tuduhan yang ditolak oleh Israel.
Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita