Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mahkamah Indonesia semak peraturan pilihan raya serantau, di tengah desas-desus anak bongsu Presiden mungkin bertanding

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah Indonesia semak peraturan pilihan raya serantau, di tengah desas-desus anak bongsu Presiden mungkin bertanding

(Gambar: AFP/Yasuyoshi Chiba)

Diterbitkan : 31 May 2024 02:46PM Dikemas Kini : 01 Jun 2024 12:51PM
JAKARTA: Mahkamah Agung Indonesia telah meluluskan perubahan peraturan mengenai umur calon dalam pilihan raya daerah, kata mahkamah pada Khamis (30 Mei), di tengah-tengah spekulasi anak lelaki Presiden yang berusia 29 tahun mahu bertanding dalam pilihan raya Jakarta akan datang.

Satu petisyen telah difailkan kepada mahkamah bulan lepas menggesa peraturan itu diubah supaya seorang calon boleh dilantik ketika berusia 30 tahun, bukannya pada tarikh suruhanjaya pilihan raya mula mengesahkan pencalonan mereka.

Menurut seorang jurucakap mahkamah, Suharto, mahkamah telah meluluskan perubahan itu, yang difailkan oleh Parti Garuda, sebuah kumpulan yang rapat dengan gabungan yang memerintah.

"Ini supaya Indonesia boleh dipimpin oleh anak muda," kata Encik Teddy Gusnady, jurucakap Garuda.

Keputusan mengejut itu dibuat ketika anak bongsu Presiden Joko Widodo, Encik Kaesang Pangarep, 29 tahun, dinaikkan pangkat sebagai calon berpotensi bagi jawatan timbalan gabenor Jakarta, di mana pilihan raya daerah akan diadakan November ini.

Encik Kaesang, yang terkenal dengan perniagaan pisang gorengnya dan pelantikan baru-baru ini sebagai ketua Parti Solidariti Indonesia (PSI), hanya akan mencecah usia 30 tahun pada Disember.

Catatan media sosial baru-baru ini memaparkan poster pilihan raya olok-olok Encik Budisatrio Djiwandono, anak saudara kepada bakal Presiden Prabowo Subianto, bersama Encik Kaesang.

Pegawai parti Gerindra dan PSI pimpinan Encik Prabowo tidak segera menjawab soalan mengenai pencalonan Encik Kaesang, namun poster itu dikongsi di laman Instagram rasmi Gerindra, dan oleh pegawai tertinggi Gerindra pada Rabu.

Keputusan mahkamah itu meningkatkan lagi kebimbangan mengenai tahap politik dinasti dalam demokrasi ketiga terbesar di dunia itu, yang dikhuatiri menjejaskan integriti mahkamah tertingginya.

Pada bulan Februari, bekas Komander Tentera, Prabowo mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya presiden bersama pasangannya, Encik Gibran Rakabuming Raka, anak sulung Presiden. Pencalonan Encik Gibran dapat dibuat hasil perubahan kontroversi undang-undang pilihan raya, semakan yang turut dicadangkan oleh Parti Garuda.

Pakar undang-undang berkata untuk membolehkan Encik Kaesang bertanding sebagai timbalan gabenor di Jakarta, perubahan perlu dibuat bukan sahaja kepada peraturan pilihan raya, tetapi kepada undang-undang pilihan raya serantau.

"Memandangkan syarat umur ditetapkan dalam undang-undang pilihan raya daerah, jika ada rayuan, ia harus difailkan ke Mahkamah Perlembagaan, bukan Mahkamah Agung," kata pakar undang-undang Titi Anggraini.

"Jadi, Kaesang sepatutnya tidak boleh mendaftar bagi pilihan raya wilayah 2024," katanya.

Sementara itu, seorang pakar politik memberitahu Berita Benar Indonesia bahawa beliau terperanjat dengan betapa cepatnya Mahkamah Agung mengambil dan memutuskan kes itu, sedangkan tidak ada keperluan mendesak untuk berbuat demikian.

“Lebih-lebih lagi poster sudah terpampang di media sosial. Nampaknya ada prasyarat dan penetapan agenda,” kata Dr Cecep Hidayat, pensyarah di Universiti Indonesia.
Sumber : Reuters/SU/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan