Mahkamah Indonesia mulakan perbicaraan kes 11 kakitangan pusat jagaan dera puluhan kanak-kanak
Sebuah mahkamah Indonesia pada Selasa (18 Ogos) memulakan perbicaraan terhadap 11 kakitangan pusat jagaan kanak-kanak yang dituduh terlibat dalam kes penderaan berprofil tinggi terhadap kanak-kanak di bawah jagaan mereka. Ketua pusat jagaan tersebut akan dibicarakan secara berasingan.
Ketua Hakim Sunaryanto membacakan pertuduhan terhadap kakitangan pusat jagaan Little Aresha yang dituduh terlibat dalam kes penderaan kanak-kanak, semasa perbicaraan mereka di Pengadilan Negeri Yogyakarta, Indonesia, pada 18 Ogos 2026. (Gambar: REUTERS/Dwi Oblo)
Kes yang mencetuskan kemarahan meluas dalam kalangan masyarakat itu terbongkar selepas polis menyerbu pusat jagaan di Yogyakarta pada lewat April. Puluhan kanak-kanak berusia antara dua dengan enam tahun ditemui dengan tangan dan kaki mereka diikat. Ada antara mereka yang turut diikat pada pintu.
Para pengasuh di pusat jagaan Little Aresha di Yogyakarta adalah antara mereka yang dibicarakan pada Selasa.
Perbicaraan tersebut turut dihadiri ibu bapa mangsa, dengan sebahagian daripada mereka memasang pin yang bertulis, "Kami berjuang untuk anak-anak kami".
Pendakwa di mahkamah Yogyakarta itu mendakwa para pengasuh tersebut atas kesalahan mengabaikan dan mendera kanak-kanak, menurut mereka dalam perbicaraan yang disiarkan secara langsung.
Para pengasuh dituduh tidak memberikan makanan yang secukupnya kepada kanak-kanak, mencelup kepala sebahagian daripada mereka ke dalam tab mandi dan mengikat kaki mereka dengan tali sebagai hukuman kerana berkelakuan nakal. Mereka turut dituduh melakukan beberapa perbuatan lain yang menyebabkan gangguan emosi dan masalah tidur, menurut pendakwa.
Seramai 144 kanak-kanak menjadi mangsa, menurut mereka.
Dalam satu perbicaraan berasingan, pendakwa menuduh Ketua Little Aresha, Diyah Kusumastuti, mengarahkan para pengasuh supaya melakukan tindakan tersebut dan dia mengendalikan pusat jagaan tersebut tanpa lesen dari 2022 hingga 2026.
Imedia Dwi Anjani, 38 tahun, wakil ibu bapa mangsa, berkata pada Selasa bahawa sebahagian kanak-kanak masih berasa takut untuk bertemu orang yang tidak dikenali dan cenderung menunjukkan tingkah laku agresif.
"Harapan saya adalah mereka yang sudah ditetapkan sebagai tersangka (suspek) dapat dikenakan hukuman maksimum," katanya.
Menurut Polis Yogyakarta, seramai 32 individu telah dikenal pasti sebagai suspek dalam kes tersebut.
Reuters tidak dapat menghubungi peguam para defendan untuk mendapatkan komen.
Aktivis hak asasi kanak-kanak menyifatkan kes tersebut sebagai antara skandal penderaan kanak-kanak paling dahsyat dalam sejarah Indonesia. Kes tersebut mendapat liputan media yang meluas dan mencetuskan kecaman dan kemarahan di seluruh negara.
Di Indonesia, mereka yang disabit kesalahan mendera dan mengabaikan kanak-kanak boleh dikenakan hukuman penjara maksimum selama lima tahun dan didenda Rp100 juta (S$7,158.42).
Indonesia mempunyai beribu-ribu pusat jagaan kanak-kanak, meskipun konsep tersebut masih agak baharu di negara itu, yang secara tradisinya menyaksikan kanak-kanak dijaga oleh keluarga besar mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.