Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mahkamah Hak Asasi Eropah bakal umum keputusan perbicaraan kes MH17 terhadap Rusia

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah Hak Asasi Eropah bakal umum keputusan perbicaraan kes MH17 terhadap Rusia

Pasukan hakim mengunjungi lokasi rangka pesawat MH17 yang dibina semula dengan kerangka wayar di pangkalan tentera udara Gilze-Rijen di Belanda. (Gambar: Peter Dejong/POOL/AFP)

Diterbitkan : 25 Jan 2023 02:59PM Dikemas Kini : 25 Jan 2023 02:59PM
LONDON: Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) dijangka mengumumkan sama ada ia akan mendengar pendakwaan terhadap Rusia berhubung insiden pesawat MH17 yang ditembak jatuh pada 2014, lapor BBC.

Kesemua 298 penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines itu terbunuh setelah ia ditembak jatuh oleh peluru berpandu buatan Rusia yang didakwa dilepaskan oleh kumpulan pemisah Ukraine yang disokong Mosko.

Kerajaan Belanda mendakwa bahawa Rusia menyalurkan maklumat salah mengenai peranan Mosko dalam kejadian itu dan ia merupakan pencabulan hak asasi buat semua waris mangsa terlibat.

Namun Rusia menafikan dakwaan tersebut.

Keputusan sama ada pendakwaan kes akan didengar dijangka disampaikan pada 2.30 petang waktu tempatan (9.30 malam waktu Singapura), menurut laporan BBC.

Pada Julai 2014, pesawat Boeing 777 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas selepas terkena tembakan peluru berpandu darat ke udara ketika konflik memuncak di antara pemberontak pro-Rusia dan tentera Ukraine di Wilayah Donbas, Ukraine.

Belanda mendakwa Rusia memainkan peranan penting dalam nahas itu dan kes tersebut bergantung kepada sama ada Mosko mempunyai kawalan ke atas wilayah Ukraine di mana peluru berkenaan dilancarkan, lapor BBC.

Pada ketika ini, ECHR hanya akan memutuskan sama ada kriteria itu dipenuhi.

Sekalipun ECHR memutuskan untuk mendengar kes yang dikemukakan Belanda, keputusan mungkin akan memakan masa bertahun-tahun sebelum diumumkan.

Namun, jika ECHR mendapati Rusia bersalah, Mosko mungkin diwajibkan membayar ganti rugi kepada waris mangsa terlibat.

Pada November, mahkamah Belanda mendapati tiga lelaki, iaitu dua warga Rusia dan seorang warga Ukraine, bersalah atas tuduhan membunuh dalam nahas MH17 tanpa kehadiran mereka di mahkamah.

Mahkamah membuat kesimpulan bahawa peluru berpandu itu dilancarkan dengan sengaja untuk menjatuhkan pesawat walaupun sasaran sebenar adalah milik tentera dan bukannya orang awam.

Ketiga-tiga lelaki itu dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, namun kesemua mereka dilapor berada di Rusia.

Mosko mengecam keputusan itu yang didakwanya sebagai bermotif politik dan suspek itu tidak mungkin akan diserahkan untuk dihadapkan ke muka pengadilan.

Rusia berulang kali menafikan pembabitannya dalam serangan tersebut.
Sumber : Agensi berita/ZM/zm

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa