Skip to main content

Dunia

Mahkamah China arah Malaysia Airlines bayar pampasan AS$3.3 juta susuli kehilangan MH370

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah China arah Malaysia Airlines bayar pampasan AS$3.3 juta susuli kehilangan MH370
Pengunjung melihat serpihan bangkai pesawat yang dipercayai milik penerbangan MH370 Malaysia Airlines semasa sebuah acara di Subang Jaya, Malaysia, pada 3 Mac 2024. (Gambar fail: Reuters/Hasnoor Hussain)
Diterbitkan : 08 Dec 2025 10:05PM
BEIJING: Sebuah mahkamah di Beijing mengarahkan Malaysia Airlines membayar pampasan lebih 2.9 juta yuan (AS$410,240) bagi setiap kes kepada beberapa keluarga penumpang yang hilang dalam pesawat MH370, lebih sedekad selepas kehilangan pesawat itu.

Keputusan itu melibatkan lapan kes, membabitkan lapan penumpang.

Mahkamah Rakyat Daerah Chaoyang menjelaskan dalam kenyataannya bahawa 47 tuntutan lain ditarik balik selepas keluarga-keluarga yang terlibat mencapai penyelesaian di luar mahkamah dengan Malaysia Airlines dan cabang antarabangsa syarikat itu, Malaysia Airlines International.

Lagi 23 kes masih dalam perbicaraan.

Mahkamah itu menyatakan pampasan yang diputuskan pada Jumaat adalah bagi menampung perbelanjaan persemadian, tekanan emosi dan kerugian lain.

Malaysia Airlines tidak segera memberi maklum balas terhadap permintaan untuk komen.

Pesawat Boeing 777 yang membawa 239 orang itu hilang dari radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Walaupun operasi pencarian terbesar dalam sejarah penerbangan sudah dijalankan, pesawat itu masih belum ditemui.

Dua pertiga daripada penumpang pesawat Boeing 777 itu adalah rakyat China, manakala selebihnya terdiri daripada rakyat Malaysia, Indonesia dan Australia, serta warga India, Amerika Syarikat, Belanda dan Perancis.

Kementerian Pengangkutan Malaysia menyatakan awal bulan ini bahawa pencarian MH370 akan disambung semula pada 30 Disember.

Pencarian baharu itu akan berlangsung selama 55 hari dan dijalankan di kawasan bersasar yang “dinilai mempunyai kebarangkalian tertinggi” lokasi pesawat tersebut, menurut kementerian itu, tanpa menyatakan lokasi tepat.
Sumber : Reuters/IM/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita