Mahkamah Britain tolak ekstradisi Assange ke AS
Seorang hakim Britain pada Isnin (4 Jan) menolak permohonan agar pengasas WikiLeaks, Julian Assange, diekstradisi ke Amerika Syarikat untuk menghadapi tuduhan pengintipan setelah menerbitkan secara online ratusan ribu dokumen rahsia.
Gambar fail Julian Assange yang dipetik pada 1 Mei (Gambar: Reuters)
LONDON: Seorang hakim Britain pada Isnin (4 Jan) menolak permohonan agar pengasas WikiLeaks, Julian Assange, diekstradisi ke Amerika Syarikat untuk menghadapi tuduhan pengintipan setelah menerbitkan secara online ratusan ribu dokumen rahsia.
Hakim Daerah Vanessa Baraitser berkata penerbit warga Australia berusia 49 tahun itu berisiko membunuh diri sekiranya dibenarkan diekstradisi.
"Atas sebab itu saya memutuskan bahawa ekstradisi akan menyebabkan tekanan mental yang memudaratkan tertuduh dan saya memerintahkan dia dibebaskan," tambahnya.
Di dalam mahkamah, Assange mengusap dahinya ketika keputusan itu diumumkan sementara tunangnya Stella Moris menangis dan dipeluk oleh ketua editor WikiLeaks, Kristinn Hrafnsson.
Di luar mahkamah, penyokongnya yang berkumpul sejak pagi tadi, bersorak, diiringi laungan "bebaskan Assange".
Assange dan pasukan peguamnya telah lama berhujah bahawa kes itu, didorong oleh sebab-sebab politik.
Keputusan mahkamah itu bagaimanapun masih terbuka untuk proses rayuan.
Assange berdepan 18 tuduhan di Amerika Syarikat berkaitan dengan penerbitan 500,000 fail rahsia menerusi WikiLeaks pada 2010 mengenai perincian kempen ketenteraan di Afghanistan dan Iraq.
Sekiranya disabitkan bersalah di Amerika Syarikat, Assange mungkin dikenakan hukuman penjara sehingga 175 tahun.
Saksi pembelaan yang dipanggil ketika sesi perbicaraan berkata, Assange dikhuatiri berdepan risiko membunuh diri jika dihantar ke Amerika dan ditempatkan di penjara keselamatan maksimum, susulan rekod tekanan emosi yang pernah dialaminya.
Assange juga pernah mengadu mengenai suara khayalan dan mendengar muzik ketika dia dalam tahanan.
Sebelum keputusan itu, Jerman dan seorang pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan keprihatinan terhadap tindakan masalah hak asasi yang ditimbulkan akibat diekstradisi.
Assange mengalami masalah pernafasan yang membuatnya lebih mudah dijangkiti COVID-19, yang sudah menular dalam kalangan tahanan di penjara keselamatan tinggi di mana dia ditahan di London.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.