Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mahkamah beri izin kembalikan sementara pasport Ahmad Zahid bagi jalani rawatan di Jerman

Mahkamah Tinggi di Shah Alam membenarkan permohonan Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menghadapi 40 pertuduhan menerima rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd, supaya pasportnya dikembalikan sementara bagi membolehkan beliau menerima rawatan di Munich.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah beri izin kembalikan sementara pasport Ahmad Zahid bagi jalani rawatan di Jerman

Bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dr Ahmad Zahid Hamidi. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 11 Oct 2021 12:21PM Dikemas Kini : 11 Oct 2021 12:23PM

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di Shah Alam membenarkan permohonan Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menghadapi 40 pertuduhan menerima rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), supaya pasportnya dikembalikan sementara bagi membolehkan beliau menerima rawatan di Munich, Jerman.

Permohonan itu dibuat pagi ini (11 Okt) di Mahkamah Tinggi Shah Alam di hadapan Hakim Mohd Yazid Mustafa.

Ahmad Zaidi Zainal, yang mewakili bekas Timbalan Perdana Menteri itu, memaklumkan permohonan tersebut adalah perkara sama yang dibuat anak guamnya - yang menderita sakit belakang serta leher dan perlu mendapatkan rawatan daripada pakar terkemuka Jerman, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu.

“Kami memohon pelepasan sementara pasportnya bagi mendapatkan rawatan di Jerman untuk kecederaan, sama seperti permohonannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur...yang dekat sini dah bagi,” katanya ketika ditemui media hari ini. 

Ahmad Zaidi berkata pelepasan sementara pasport itu tidak akan mengganggu tarikh perbicaraan anak guamnya, yang ditetapkan pada 22 Oktober ini. 

Ahmad Zahid, 68 tahun, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB sebagai dorongan untuk dirinya, selaku pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama sudah mendapatkan untuk dirinya wang tunai S$1,150,000, RM3 juta, 15,000 euro dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Pada 7 Oktober lalu, media melaporkan Ahmad Zahid, yang berdepan 47 pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah dan rasuah, memohon di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya pasportnya diserahkan sementara bagi membolehkannya ke Munich, Jerman, untuk mendapatkan rawatan.

Peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah bahawa anak guamnya perlu mendapatkan rawatan daripada pakar terkemuka di Munich.

Hamidi memaklumkan Ahmad Zahid memohon agar pasportnya diserahkan pada 26 Oktober ini dan akan memulangkannya pada 21 November nanti. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan