Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mahkamah benar permohonan Najib, Rosmah untuk batalkan saman ahli perniagaan Deepak yang tuntut ganti rugi

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini (17 Jul) membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri Najib Tun Razak, isterinya Rosmah Mansor dan dua individu lain untuk membatalkan saman yang difailkan ahli perniagaan J.R. Deepak Jaikishan dalam tuntutan ganti rugi RM676 juta (S$220 juta).

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah benar permohonan Najib, Rosmah untuk batalkan saman ahli perniagaan Deepak yang tuntut ganti rugi

Bekas perdana menteri Malaysia, Najib Razak, bersama isterinya, Rosmah Mansor. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 17 Jul 2020 06:10PM Dikemas Kini : 17 Jul 2020 06:12PM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini (17 Jul) membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri Najib Tun Razak, isterinya Rosmah Mansor dan dua individu lain untuk membatalkan saman yang difailkan ahli perniagaan J.R. Deepak Jaikishan dalam tuntutan ganti rugi RM676 juta (S$220 juta) berhubung dakwaan penipuan beberapa urus niaga berpunca daripada konspirasi jual beli tanah. 

Peguam David Mathews, yang mewakili Najib dan Rosmah, memberitahu wartawan bahawa Pesuruhjaya Kehakiman Quay Chew Soon membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan untuk membatalkan saman tersebut di kamarnya.

Mathews berkata mahkamah membenarkan permohonan defendan dengan alasan Deepak tidak mempunyai lokus standi untuk menuntut kerugian yang didakwa beliau dalam samannya dan penyataan tuntutan tidak mendedahkan alasan munasabah berhubung tindakan itu.

Beliau berkata mahkamah mengarahkan plaintif membayar membayar kos RM15,000 (S$4,900)kepada pasangan itu dan RM15,000 lagi kepada Boustead Holdings Berhad serta anak syarikatnya, Bakti Wira Development Sdn Bhd, selaku defendan.

Deepak, yang diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Irzan Iswat Mohd Noor, mengesahkan keputusan prosiding hari ini.

Najib dan Rosmah memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu pada 7 Jan 2019 manakala dua lagi defendan - Boustead Holdings dan anak syarikatnya, Bakti Wira - mengemukakan permohonan mereka pada 17 Dis 2018 dengan alasan mereka tidak terlibat dalam dakwaan konspirasi.

Deepak memfailkan saman tersebut pada 12 Okt 2018, mendakwa beliau mengalami kerugian akibat konspirasi, penipuan dan pengaruh yang tidak wajar oleh defendan dalam urusan pembelian tanah yang didakwa menyebabkan syarikatnya mengalami kerugian besar.

Deepak mendakwa beliau sebagai pengarah dan pemilik saham terbesar Astacanggih Sdn Bhd menandatangani satu perjanjian dengan pengarah dan pemilik saham terbesar syarikat Awan Megah (M) Sdn Bhd, Raja Ropiaah Raja Abdullah, berhubung tiga bidang tanah seluas 181.9 hektar di Mukim Kapar, Klang serta Mukim Bukit Raja, dalam Daerah Petaling.

Beliau mendakwa bayaran deposit RM13 juta (S$4.2 juta) telah dibayar oleh Astacanggih kepada Awan Megah dan bon tanah daripada Kuwait Finance House (M) Berhad berjumlah RM72.5 juta (S$23 juta) oleh syarikatnya itu dikemukakan kepada Kerajaan Malaysia.

Bagaimanapun, beliau mendakwa Awan Megah enggan mengemukakan geran asal bagi tanah terbabit untuk dipindah milik kepada Astacanggih.

Deepak mendakwa akibat konspirasi serta campur tangan Najib dan Rosmah yang masing-masing dinamakan selaku defendan pertama dan kedua, beliau terpaksa menjual 80 peratus (16 juta unit) daripada saham dimilikinya dalam Astacanggih kepada Boustead Holdings melalui anak syarikatnya, Bakti Wira Development.

Sehubungan itu, Deepak menuntut ganti rugi am RM600 juta (S$195 juta), ganti rugi teladan RM50 juta (S$16 juta) dan ganti rugi berpanjangan RM26 juta (S$8 juta).

Sementara itu, ketika ditemui selepas prosiding tersebut, Deepak memberitahu wartawan beliau akan memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan