Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mahkamah benar Najib pinda notis usul masukkan bukti baru

Anggaran Waktu Membaca:

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan pada Isnin (15 Ogos) membenarkan Najib Razak meminda notis usul dalam permohonannya untuk memasukkan bukti tambahan dalam rayuan akhir penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel lima hakim membenarkan perkara itu sebelum peguam yang mewakili Encik Najib, Hisyam Teh Poh Teik berhujah mengenai perkara tersebut.

Turut bersidang adalah empat panel hakim iaitu Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abang Iskandar Abang Hashim serta tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Tengku Maimun memberitahu Sinar Harian bahawa pada peringkat ini mahkamah membenarkan pindaan tersebut namun bukan berhubung merit substantif kes.

Pindaan notis usul berkenaan membabitkan keterangan lisan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosli Hussein dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Malaysia Berhad (1MDB), Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Keterangan itu sama ada Rosli menyedari pembabitan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam perbicaraan kes SRC, Mohd Nazlan Mohd Ghazali sebagai Kaunsel dan Setiausaha Syarikat Maybank Group.

Ia membabitkan khidmat nasihat strategik yang diberikan Maybank Investment Berhad dan Bina Fikir Sdn Bhd kepada 1MDB bagi penubuhan SRC pada tahun 2010/2011.

Selain itu, ia berhubung pemberian pinjaman Maybank kepada 1MDB bagi perolehan Tanjong Energy Berhad pada 2012 sebanyak RM4.7 bilion.

Bagi keterangan Shahrol Azral pula, ia membabitkan peranannya ketika menjadi CEO 1MDB dalam urusan dan pelantikan Maybank Investment Berhad dan Bina Fikir Sdn Bhd serta pegawainya berkaitan khidmat nasihat strategik dalam penubuhan SRC International pada tahun 2010/2011.

Prosiding ditangguhkan selama 30 minit sebelum Encik Hisyam menyambung hujahannya.

Selain Encik Hisyam, Encik Najib selaku pemohon turut diwakili peguam Mohd Zaid Ibrahim, Liew Teck Huat, M Rueben dan Hannah Kam Zhen Yi.

Respondan pula diwakili Timbalan Pendakwa Raya Kanan adhoc, V Sithambaram dan empat Timbalan Pendakwa Raya iaitu Donald Joseph Franklin, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul dan Manjira Vasudevan.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan