Skip to main content

Dunia

Mahkamah Belanda bakal dengar bukti dalam perbicaraan MH17

Hakim Belanda akan mula mendengar bukti terhadap tiga suspek warga Rusia dan seorang rakyat Ukraine yang dituduh menembak jatuh pesawat MH17 milik Malaysia Airlines di ruang udara Ukraine pada 2014.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah Belanda bakal dengar bukti dalam perbicaraan MH17

Pasukan hakim mengunjungi lokasi rangka pesawat MH17 yang dibina semula dengan kerangka wayar di pangkalan tentera udara Gilze-Rijen di Belanda. (Gambar: Peter Dejong/POOL/AFP)

Diterbitkan : 07 Jun 2021 05:02PM Dikemas Kini : 07 Jun 2021 05:13PM

BADHOEVEDORP: Hakim Belanda akan mula mendengar bukti terhadap tiga suspek warga Rusia dan seorang rakyat Ukraine yang dituduh menembak jatuh pesawat MH17 milik Malaysia Airlines di ruang udara Ukraine pada 2014.

Perbicaraan secara rasmi bermula pada Mac 2020 tetapi setakat ini masih di peringkat hujahan perundangan, mengenai penerimaan bukti berkaitan nahas yang mengorbankan 298 penumpang dan kru penerbangan.

Empat suspek itu - warga Rusia Oleg Pulatov, Igor Girkin dan Sergei Dubinsky, serta warga Ukraine Leonid Kharchenko - semuanya dibicarakan tanpa kehadiran mereka. Hanya Pulatov diwakili peguam.

"Mahkamah akan membuka perbicaraan jenayah MH17 dan menerusi penelitian dan perbincangan kandungan fail pendakwaan, menjelaskan pertanyaan penting yang sudah mula ditangani," kata mahkamah tersebut dalam satu kenyataan.

"Adakah pesawat MH17 ditembak jatuh dengan peluru berpandu BUK? Adakah peluru berpandu BUK dilancarkan dari ladang pertanian berdekatan Pervomaiskyi? Adakah tertuduh memainkan peranan dalam hal ini?" tambah kenyatan itu.

Jet Boeing 777 yang malang itu sedang dalam penerbangan dari lapangan terbang Schiphol di Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia ditembak jatuh di bahagian timur Ukraine, wilayah yang dikawal pemberontak pro-Rusia.

Siasatan antarabangsa membuat kesimpulan bahawa peluru berpandu BUK yang dimiliki Briged Peluru Berpandu Anti-Pesawat ke-53 tentera Rusia yang berpusat di bandar Kursk bertanggungjawab terhadap kejadian itu.

Keempat-empat suspek dituduh sebagai dalang utama dalam kalangan kumpulan pemberontak pemisah yang berperang dengan Kiev.

"PENUH EMOSI"

Perbicaraan diadakan di Belanda, dalam ruang mahkamah yang selamat berdekatan Lapangan Terbang Schipol kerana ia merupakan lokasi di mana pesawat itu berlepas. Di samping itu, seramai 196 orang dalam kalangan jumlah terkorban adalah warga Belanda.

Menurut mahkamah, pendengaran terhadap merit hari ini bermula dengan topik umum termasuk siasatan oleh hakim pemeriksa, disusuli perbincangan selama tiga hari bermula Selasa hingga Khamis.

Pihak pendakwaan dan pembelaan pula diberi peluang untuk membangkitkan isu ketika perbincangan berlangsung sehingga 9 Julai.

Waris mangsa akan turut memberi keterangan di mahkamah pada September depan.

Bulan lalu, pasukan hakim mengunjungi lokasi rangka pesawat MH17 untuk pertama kalinya dan menyifatkan ia sebagai hari yang penuh emosi.

Bahagian depan pesawat itu dibina semula dengan kerangka wayar di pangkalan tentera udara Gilze-Rijen di Belanda.

"Kami sedar bahawa kunjungan ke lokasi pembinaan semula MH17 sebagai sebahagian daripada proses jenayah rasmi akan menjadi sangat emosi untuk ahli keluarga mangsa," kata ketua hakim, Hendrik Steenhuis.

"Ia pembinaan semula pesawat yang dinaiki orang-orang tersayang mereka yang sedang dalam perjalanan tetapi tidak sampai ke destinasi kerana kapal terbangnya terhempas dan semua penumpang terkorban."

Menerusi video yang ditunjukkan di mahkamah pada November lalu, satu-satunya suspek yang diwakili peguam Pulatov berkata dia tidak melihat sebarang tanda peluru berpandu. 

Sumber : AFP/IH/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita