Mahkamah bebaskan Guan Eng, Li Koon dari tuduhan rasuah
Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini (3 Sept) membebaskan mantan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng daripada dua tuduhan rasuah selepas peguam negara menerima hujah balasan daripada peguam.
GEORGETOWN: Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini (3 Sep) membebaskan mantan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng daripada dua tuduhan rasuah selepas peguam negara menerima hujah balasan daripada peguam.
Turut dibebaskan ialah seorang ahli perniagaan, Cik Phang Li Koon.
Menurut laman berita Malaysiakini, terdahulu timbalan pendakwa raya Encik Mohd Masri Daud memohon kepada mahkamah supaya tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan daripada dakwaan tersebut.
Bagaimanapun hakim Hadhariah Syed Ismail memutuskan untuk membebas dan melepaskan Encik Lim serta Cik Phang daripada tuduhan berkenaan, lapor Malaysiakini.
Katanya permohonan tersebut tidak dapat diterima kerana pihak pendakwa sudah menarik balik tuduhan yang dikenakan kepada kedua-dua individu terbabit.
Encik Lim yang kini menjadi menteri kewangan didakwa bersama Cik Phang di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang George Town, menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14.
Kedua-dua mereka menghadapi tuduhan berkenaan ekoran urusan jual beli sebuah banglo di Jalan Pinhorn, George Town, di bawah harga pasaran semasa, lapor Malaysiakini lagi.
Ia turut menarik perhatian ramai kerana peguam negara ketika itu Encik Mohamed Apandi Ali bertindak sebagai ketua pasukan pendakwaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.