Skip to main content

Dunia

Mahkamah batal petisyen pilihan raya BN; PAS kekal menang di parlimen Gua Musang

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah batal petisyen pilihan raya BN; PAS kekal menang di parlimen Gua Musang

Peguam kepada Ahli Parlimen Gua Musang, (Datuk Mohd Azizi Abu Naim), Datuk Seri Takiyuddin Hassan (tiga, kiri, hadapan) bermesra dengan peguam wakil calon BN Parlimen Gua Musang (Tengku Razaleigh Hamzah), Datuk Mohd Hafarizam Harun (empat, kanan). (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 26 Feb 2023 05:52PM
KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi hari ini (26 Feb) membatalkan petisyen pilihan raya calon Barisan Nasional (BN) Tengku Razaleigh Hamzah di Parlimen Gua Musang, sekali gus mengesahkan kemenangan Datuk Mohd Azizi Abu Naim daripada PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Hakim Roslan Abu Bakar memerintahkan wakil calon BN Azmi Mahmood sebagai pempetisyen membayar kos RM25,000 (S$7,600).

Dalam penghakimannya, Encik Roslan berkata mahkamah menerima tiga isu dalam bantahan awal yang dikemukakan oleh Mohd Azizi selaku responden bagi petisyen itu.

Beliau berkata tarikh petisyen difailkan adalah melebihi had masa ditetapkan iaitu 28 hari di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 selain lantikan peguam pempetisyen tidak mematuhi undang-undang mengikut akta sama.

"Isu ketiga, pempetisyen gagal memperinci tuduhan berkaitan sogokan termasuk tidak ada maklumat lengkap mengenai ejen pemberi rasuah menyebabkan petisyen itu menjadi cacat dan tidak sah," katanya.

Pada prosiding itu, pempetisyen diwakili peguam Encik Abu Bakar Isa Rahmat, Encik Mohamed Baharuddin Mohamed Ariff dan Cik Norhazira Abu Hayyan manakala responden diwakili Encik Wan Rohimi Wan Daud, Nik Bahrum Nik Abdulllah, Encik Yusfarizal Yusoff dan Encik Mohd Faizi Che Abu.

Tengku Razaleigh gagal mempertahan kerusi Parlimen Gua Musang untuk kali ke-12 pada PRU15 apabila tewas kepada Encik Mohd Azizi yang diumum menang dengan majoriti tipis 163 undi.

Encik Mohd Azizi (PAS-Bersatu) memperoleh 21,826 undi manakala Tengku Razaleigh (BN-Umno) pula mendapat 21,663 undi.

Pada 3 Januari lalu, Encik Mohd Azmi memfailkan petisyen itu untuk mencabar keputusan PRU15 bagi Parlimen Gua Musang manakala Mohd Azizi mengemukakan bantahan awal bagi membatalkannya.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita