Mahkamah Bangladesh arahkan istilah 'dara' tidak digunakan dalam sijil kahwin
Mahkamah Tinggi Bangladesh mengarahkan perkataan "dara" dalam sijil perkahwinan pasangan Muslim tidak lagi digunakan.

Mahkamah Tinggi Bangladesh mengarahkan perkataan "dara" dalam sijil perkahwinan pasangan Muslim tidak lagi digunakan. (Gambar: AFP)
DHAKA: Mahkamah Tinggi Bangladesh mengarahkan perkataan "dara" dalam sijil perkahwinan pasangan Muslim tidak lagi digunakan. Ia merupakan satu keputusan bersejarah selepas para jurukempen mencabar istilah yang ‘memalukan dan mendiskriminasi’ itu.
Di bawah undang-undang di negara Asia Selatan itu, pengantin wanita perlu memilih satu daripada tiga pilihan dalam sijil berkenaan - sama ada dirinya seorang Kumari (dara), balu atau janda.
Dalam keputusan ringkas Ahad lalu, mahkamah berkenaan mengarahkan pemerintah menggantikan istilah itu dengan perkataan "tidak berkahwin", kata Timbalan Peguam Negara, Amit Talukder.
Mahkamah dijangka menerbitkan keputusan penuh menjelang Oktober dengan perubahan kepada sijil perkahwinan dijangka berkuat kuasa selepas itu.
“Ia adalah satu keputusan bersejarah,” kata Encik Aynun Nahar Siddiqua, kata seorang peguam bagi kumpulan-kumpulan yang memfailkan kes untuk mencabar istilah berkenaan pada 2014 kepada AFP semalam.
Kumpulan-kumpulan hak asasi sudah sekian lama mengkritik istilah itu, yang digunakan dalam sijil perkahwinan sejak ia diperkenalkan pada 1961, dan mengatakan ia "memalukan dan mendiskriminasi" serta mencabuli privasi wanita yang akan berkahwin.
Penghakiman juga mengarahkan pihak berkuasa memperkenalkan pilihan "tidak berkahwin atau duda" untuk pengantin lelaki pada sijil.
Bangladesh adalah negara majoriti penduduk Muslim yang ketiga terbesar di dunia dan hampir 90 peratus daripada 168 juta penduduknya beragama Islam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.