Mahkamah arah Korea Utara bayar Seoul AS$32.5 juta atas kemusnahan pejabat perhubungan
Sebuah mahkamah Seoul pada Rabu (16 Sep) memerintahkan Pyongyang untuk membayar kira-kira AS$32.5 juta (S$41.37 juta) kerana meletupkan sebuah pejabat di Korea Utara pada 2020 yang bertujuan memperbaiki hubungan antara kedua-dua negara Korea.
Imej satelit yang dikeluarkan Maxar Technologies menunjukkan pemandangan berdekatan Pejabat Perhubungan Bersama antara Korea Utara dengan Selatan serta bangunan pentadbiran pada 22 Jun 2020, selepas ia dimusnahkan dengan bahan letupan oleh tentera Korea Utara pada 16 Jun 2020. (Gambar: AFP/Edaran/Imej satelit 2020 Maxar Technologies)
- Mahkamah Daerah Pusat Seoul pada 16 Sep memerintahkan Korea Utara membayar 44.6 bilion won kepada Korea Selatan kerana meletupkan Pejabat Perhubungan Antara Korea di Kaesong pada Jun 2020.
- Pejabat itu dibuka pada September 2018 untuk menyokong hubungan antara Korea, tetapi operasinya digantung pada Januari 2020 akibat pandemik COVID-19.
- Pemusnahan berlaku selepas aktivis Korea Selatan menghantar belon risalah anti-Pyongyang, dan Pyongyang menegaskan tindakannya wajar sebagai balasan terhadap Seoul.
- Kes difailkan pada 2023 di bawah Yoon Suk Yeol; pakar Hong Min meragui Korea Utara akan membayar, sementara Seoul mahu dialog disambung semula.
Saman berhubung pemusnahan Pejabat Perhubungan Antara Korea itu merupakan kali pertama pemerintah Korea Selatan menuntut ganti rugi secara langsung daripada pemerintah Korea Utara, menurut laporan media.
Para pakar berpendapat Pyongyang tidak mungkin akan membayar ganti rugi atas kemusnahan bangunan di bandar Kaesong, Korea Utara itu. Korea Selatan pula menyatakan ia akan "meneliti langkah susulan yang diperlukan".
Bangunan pejabat tersebut dibina di Kompleks Perindustrian Kaesong yang kini tidak beroperasi, di mana syarikat-syarikat Korea Selatan pernah menggajikan pekerja-pekerja Korea Utara.
Namun, Pyongyang meletupkan bangunan tersebut pada Jun 2020 selepas ketegangan meningkat selama beberapa hari apabila para aktivis di Korea Selatan menghantar belon-belon yang membawa risalah anti-Pyongyang merentasi sempadan. Korea Utara ketika itu menyifatkan pejabat tersebut sebagai "tidak berguna".
"Mahkamah memutuskan bahawa Korea Utara perlu membayar pemerintah Korea Selatan ganti rugi 44.6 bilion won," kata seorang jurucakap Mahkamah Daerah Pusat Seoul kepada AFP.
Kes itu difailkan pada 2023 di bawah pemerintah pemimpin Korea Selatan ketika itu, Yoon Suk Yeol, yang mengambil pendekatan tegas terhadap Korea Utara sebelum beliau digulingkan menyusuli pengisytiharan undang-undang tentera yang membawa padah.
Pejabat itu dibuka pada September 2018, beberapa hari sebelum Presiden Korea Selatan ketika itu, Moon Jae-in, berkunjung ke Pyongyang bagi sidang puncak ketiganya dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un.
Sekitar 20 pegawai dari setiap pihak ditempatkan di pejabat tersebut pada bulan-bulan berikutnya sehingga operasi digantung pada Januari 2020 akibat pandemik COVID-19.
Hubungan antara kedua-dua negara Korea mencapai tahap terbaik pada 2018, apabila Encik Moon dan Encik Kim mengadakan tiga sidang puncak. Namun, hubungan merosot selepas pertemuan antara Encik Kim dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di Hanoi berakhir tanpa persetujuan pada Februari 2019.
"Ia adalah mustahil bagi Korea Utara memikul tanggungjawab dan membayar ganti rugi tersebut," kata Hong Min, penyelidik kanan di Institut Korea bagi Penyatuan Nasional, kepada AFP.
"Pendirian Korea Utara mengenai kemusnahan pejabat itu jelas: ia menegaskan bahawa tindakan tersebut adalah wajar dan diambil sebagai tindak balas terhadap kesalahan pihak Korea Selatan," tambah beliau.
Menurut beliau, sama ada Korea Utara akan memberikan maklum balas terhadap keputusan mahkamah tersebut bergantung kepada sama ada pemerintah Korea Selatan memberi reaksi secara terbuka dan bagaimana ia berbuat demikian.
Kementerian Penyatuan Korea Selatan menyatakan "pemerintah berharap dialog antara kedua-dua negara Korea dapat disambung semula dan semua isu antara kedua-dua Korea dapat diselesaikan menerusi dialog dan kerjasama".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.