Mahkamah Agung India gesa pemerintah bertindak susuli rayuan mohon siasatan bebas terhadap nahas Air India
Mahkamah Agung India pada Isnin (22 Sep) meminta pemerintah menjawab rayuan yang mengusulkan siasatan bebas terhadap nahas pesawat Air India pada 12 Jun yang mengorbankan 260 orang.
Anggota pasukan kejuruteraan Tentera India bersiap sedia untuk mengalihkan serpihan pesawat Air India yang terhempas pada 14 Jun 2025. (Gambar fail: REUTERS/Amit Dave)
Mahkamah itu bertindak demikian menyusuli litigasi kepentingan awam yang difailkan oleh sebuah pertubuhan bukan pemerintah (NGO), Safety Matters Foundation, yang merupakan usulan pertama terhadap siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa India ke atas insiden itu.
Dalam perbicaraan pada Isnin, peguam untuk NGO itu mempersoalkan penyertaan para pegawai daripada pengawal selia keselamatan penerbangan dalam panel siasatan, sambil mengatakan ia mewujudkan "konflik kepentingan".
"Siasatan itu semestinya melibatkan pemeriksaan kritikal terhadap tindakan pengawalseliaan DGCA sendiri dan kemungkinan berlakunya kesilapan," kata NGO itu.
Nahas pesawat Boeing 787 kendalian Air India mengorbankan semua kecuali seorang daripada 242 orang di dalam pesawat dan 19 yang lain di darat, selepas pesawat itu terhempas selepas berlepas dari lapangan terbang Ahmedabad.
Laporan siasatan awal yang dikeluarkan sebelum ini oleh pemerintah India menunjukkan kekeliruan juruterbang di kokpit sejurus sebelum nahas berlaku selepas suis enjin bahan api pesawat itu dimatikan sejurus selepas berlepas.
Laporan itu seolah-olah membebaskan Boeing dan pembuat enjin GE Aerospace (GE.N), tetapi sejumlah keluarga mangsa telah mengkritik para penyiasat dan media kerana terlalu fokus kepada tindakan juruterbang.
"Tiga daripada anggota itu adalah pegawai yang berkhidmat di Direktorat Jeneral Penerbangan Awam (pengawal selia keselamatan penerbangan), yang mewujudkan konflik kepentingan yang sangat serius," kata peguam NGO itu Prashant Bhushan kepada para hakim.
Mahkamah menyatakan bahawa ia akan mengkaji semula permintaan untuk siasatan "adil, saksama, dan bebas, dan pantas", dan ia telah meminta pemerintah untuk bertindak balas.
Kes itu berlaku beberapa hari selepas kes berasingan difailkan di Amerika Syarikat oleh keluarga empat penumpang terhadap Boeing dan Honeywell.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.