Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mahkamah Agung Amerika tolak permohonan Trump tangguh tarikh jatuh hukum kes wang sogokan

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah Agung Amerika tolak permohonan Trump tangguh tarikh jatuh hukum kes wang sogokan

Donald Trump pada 6 Nov 2024 di Florida. (Gambar: AP/Alex Brandon)

Diterbitkan : 10 Jan 2025 11:16AM Dikemas Kini : 11 Jan 2025 12:07AM
WASHINGTON: Mahkamah Agung Amerika Syarikat pada Khamis (9 Jan) menolak permohonan saat-saat akhir Presiden Amerika Syarikat yang bakal dilantik, Donald Trump bagi menangguhkan ketetapan hukuman membabitkan kes wang sogokan yang dijadualkan pada 9.30 pagi Jumaat (waktu tempatan atau 1430 GMT).

Mahkamah tertinggi Amerika itu, yang termasuk tiga hakim dilantik oleh Encik Trump, menolak permohonannya untuk menangguhkan sesi hukuman pada Jumaat dengan undian 5-4.

Mahkamah, dalam perintah ringkas yang tidak ditandatangani, berkata "beban hukuman terhadap tanggungjawab bakal Presiden itu agak tidak ketara" dan menyatakan bahawa Encik Trump akan dibenarkan hadir secara maya.

Mahkamah juga menarik perhatian bahawa Hakim Juan Merchan, yang mengetuai perbicaraan kes wang sogokan itu, telah pun berkata beliau merancang untuk menjatuhkan hukuman "pelepasan tanpa syarat," yang tidak melibatkan sebarang hukuman penjara, denda atau probesen

Encik Trump, 78 tahun, dijadual dijatuhkan hukuman di Manhattan pada pagi Jumaat selepas disabitkan oleh juri New York pada Mei atas 34 pertuduhan memalsukan rekod perniagaan untuk menutup pembayaran wang sogokan kepada seorang bintang lucah Stormy Daniels.

Beliau rasmi dilantik Presiden Amerika pada 20 Januari, sekali gus menjadikannya mantan presiden pertama disabitkan dengan jenayah dan menjadi penjenayah pertama yang disabitkan untuk berkhidmat di Rumah Putih.

Dalam catatan di Truth Social berikutan keputusan Mahkamah Agung itu, Encik Trump mengucapkan terima kasih kepada mahkamah kerana "cuba membetulkan ketidakadilan besar yang dilakukan kepada saya" dan menyelar Hakim Merchan, menggelarnya sebagai "hakim yang sangat politik dan makan suap."

"Saya tidak bersalah terhadap semua pertuduhan palsu yang dibuat oleh Hakim," katanya, sambil menambah bahawa beliau akan meneruskan rayuan terhadap keputusan bersalah dalam kes wang sogok itu.

Encik Trump memfailkan permohonan kecemasan dengan sembilan anggota Mahkamah Agung pada Rabu untuk menghalang hukumannya.

Empat hakim konservatif -- Clarence Thomas, Samuel Alito, Neil Gorsuch dan Brett Kavanaugh -- menyokong permohonan Trump.
Sumber : AFP/SU/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan