Skip to main content

Dunia

Mahkamah Agung Amerika bakal putuskan kesahihan tarif Trump

Mahkamah Agung Amerika Syarikat pada Selasa (9 Sep) bersetuju untuk memutuskan kesahihan tarif global meluas yang dikenakan oleh Presiden Donald Trump, sekali gus membuka jalan bagi satu ujian besar terhadap salah satu dakwaan paling berani oleh presiden Republican itu mengenai kuasa eksekutifnya, yang menjadi teras agenda ekonomi dan perdagangannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah Agung Amerika bakal putuskan kesahihan tarif Trump

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berbual dengan pihak media di Pejabat Bundar, Rumah Putih di Washington, DC, Amerika Syarikat, pada 5 September 2025. (Gambar fail: REUTERS/Brian Snyder)

WASHINGTON: Mahkamah Agung Amerika Syarikat pada Selasa (9 Sep) bersetuju untuk memutuskan kesahihan tarif global meluas yang dikenakan oleh Presiden Donald Trump, sekali gus membuka jalan bagi satu ujian besar terhadap salah satu dakwaan paling berani oleh presiden Republican itu mengenai kuasa eksekutifnya, yang menjadi teras agenda ekonomi dan perdagangannya.

Mahkamah berkenaan menerima rayuan Jabatan Kehakiman terhadap keputusan mahkamah bawahan yang memutuskan bahawa Encik Trump melampaui kuasanya dalam mengenakan sebahagian besar tarif tersebut di bawah undang-undang persekutuan yang diperuntukkan bagi keadaan darurat. Tindakan mahkamah itu dibuat dengan pantas selepas pentadbiran Encik Trump memohon semakan ke atas kes tersebut minggu lalu, yang membabitkan kutipan cukai kastam bernilai trilion dolar dalam tempoh sedekad akan datang.

Mahkamah Agung, yang akan memulakan penggal sembilan bulannya pada 6 Oktober, mempercepatkan kes berkenaan dengan menetapkan hujahan lisan pada minggu pertama November.

Mahkamah Rayuan Persekutuan di Washington pada 29 Ogos memutuskan bahawa Encik Trump melampaui kuasanya apabila menggunakan undang-undang 1977, Akta Kuasa Ekonomi Darurat Antarabangsa (IEEPA), untuk mengenakan tarif tersebut, sekali gus menjejaskan salah satu keutamaan utama presiden itu dalam penggal keduanya. Namun begitu, tarif itu kekal berkuat kuasa sementara menunggu rayuan di Mahkamah Agung.

Keputusan mahkamah rayuan itu berpunca daripada dua cabaran. Satu difailkan oleh lima perniagaan kecil yang mengimport barangan, termasuk sebuah syarikat pengimport wain dan minuman keras di New York serta peruncit peralatan memancing di Pennsylvania. Cabaran lain difailkan oleh 12 negeri Amerika Syarikat - Arizona, Colorado, Connecticut, Delaware, Illinois, Maine, Minnesota, Nevada, New Mexico, New York, Oregon dan Vermont - kebanyakannya ditadbir pihak Democrat.

Mahkamah Agung turut bersetuju untuk mendengarkan cabaran berasingan terhadap tarif Encik Trump yang difailkan oleh sebuah syarikat permainan keluarga, Learning Resources.

Tarif tersebut merupakan sebahagian daripada perang perdagangan global yang dicetuskan Encik Trump sejak beliau kembali sebagai presiden pada Januari lalu, yang mengeruhkan hubungan dengan rakan dagang, meningkatkan turun naik pasaran kewangan serta mencetuskan ketidaktentuan ekonomi global.

Encik Trump menjadikan tarif sebagai alat utama dasar luarnya, menggunakannya untuk merundingkan semula perjanjian perdagangan, mendapatkan konsesi serta memberi tekanan politik kepada negara lain. Pada April lalu, beliau menggunakan undang-undang 1977 untuk mengenakan tarif terhadap barangan import dari negara tertentu bagi menangani defisit perdagangan, selain mengenakan tarif berasingan pada Februari terhadap China, Kanada dan Mexico sebagai tekanan ekonomi untuk membendung penyeludupan fentanyl serta dadah haram ke Amerika Syarikat.

Undang-undang itu memberikan presiden kuasa untuk menangani “ancaman luar biasa dan tidak lazim” ditengah-tengah darurat negara. Secara tradisinya, ia digunakan bagi mengenakan sekatan terhadap musuh atau bagi membekukan aset mereka. Sebelum Encik Trump, undang-undang itu tidak pernah digunakan untuk mengenakan tarif.

“Hakikatnya, Presiden Trump telah bertindak secara sah dengan menggunakan kuasa tarif yang diberikan oleh Kongres kepadanya melalui IEEPA untuk menangani darurat negara serta melindungi keselamatan negara dan ekonomi kita. Kami menantikan kemenangan muktamad dalam perkara ini di Mahkamah Agung,” kata jurucakap White House, Kush Desai.

Jeffrey Schwab, seorang peguam dari kumpulan undang-undang Liberty Justice Center yang mewakili perniagaan kecil mencabar tarif Encik Trump, berkata beliau yakin Mahkamah Agung akan mengiktiraf bahawa presiden tidak mempunyai kuasa sehala untuk mengenakan tarif di bawah undang-undang tersebut.

“Kongres, bukannya presiden secara seorang diri, mempunyai kuasa perlembagaan untuk mengenakan tarif,” kata Encik Schwab.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita