Mahathir tukil Trump bagi pertahan keputusan larang atlit Israel sertai acara sukan
Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad pada Selasa (22 Jan) mempertahankan larangan yang dikenakan terhadap para atlit Israel, dan mengumpamakannya kepada rancangan Presiden Donald Trump untuk membina sebuah tembok di sempadan Amerika-Mexico.
Dr Mahathir mengulas tentang kritikan Israel terhadapnya dalam satu sidang media di Vienna. (Gambar: Hans Punz/AFP)
VIENNA: Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad pada Selasa (22 Jan) mempertahankan larangan yang dikenakan terhadap para atlit Israel, dan mengumpamakannya kepada rancangan Presiden Donald Trump untuk membina sebuah tembok di sempadan Amerika-Mexico.
Malaysia mencetuskan kontroversi selepas Israel mendakwa ia tidak membenarkan atlitnya bertanding dalam satu acara renang yang penting bagi saringan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
"Setiap negara mempunyai hak untuk menerima atau menolak kedatangan sesiapa sahaja," kata Dr Mahathir dalam satu sidang media di Vienna hari ini (22 Jan).
"Anda boleh melihat Amerika kini membina satu tembok yang sangat tinggi bagi mencegah rakyat Mexico daripada memasuki Amerika," katanya.
"Kami mempunyai idea sama, mereka yang tidak baik buat negara akan dipastikan tidak dapat masuk ke sini," tambah Dr Mahathir.
Minggu lalu, Israel menuduh Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad sebagai "pelampau anti-Yahudi".
Malaysia sejauh ini dengan lantang mengkritik Israel tentang caranya memperlakukan rakyat Palestin. Dr Mahathir, yang kini berusia 93 tahun, dan kali kedua menyandang jawatan perdana menteri, sebelum ini dikritik hebat kerana kenyataan-kenyataannya terhadap orang Yahudi.
Minggu lalu, beliau menolak dakwaan anti-Yahudi, sambil berkata: "Ia adalah hak saya untuk memberitahu mereka tentang kesalahan-kesalahan yang dilakukan. Mengapa kami tidak boleh berkata apa-apa bagi menentang Israel, menentang orang Yahudi?".
Pada Selasa (22 Jan), Dr Mahathir menyifatkan Israel sebagai "negara penjenayah", sambil menambah: "Jika rakyatnya ingin bertanding dalam acara sukan, mereka boleh ke negara lain."
Beliau berkata para atlit Israel berasal dari negara yang suka mengambil tindakan sewenang-wenangnya termasuk menakluki kawasan kediaman wilayah pihak lain dan meminggirkan penduduk asal di daerah-daerah itu.
"Mereka menyerbu kapal kami yang membawa bantuan bagi rakyat Gaza, terdapat banyak perkara yang dilakukan Israel yang menentang undang-undang antarabangsa dan melanggar prinsip moral," katanya kepada para wartawan.
Israel menggesa Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa supaya mencabar keputusan Malaysia atau menukar tempat pertandingan diadakan.
Kuala Lumpur, yang tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel, menolak rayuan pertubuhan sukan dunia itu untuk mencari huraian kepada masalah tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.