Skip to main content

Dunia

Mahathir: Tiada keputusan untuk terima MP UMNO secara beramai-ramai

Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad berkata, belum ada lagi keputusan oleh Pakatan Harapan (PH) untuk menerima anggota Parlimen (MP) dari Barisan Nasional (BN) secara beramai-ramai dan automatik.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahathir: Tiada keputusan untuk terima MP UMNO secara beramai-ramai

Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad. (Gambar: Lai Seng Sin/Reuters)

Diterbitkan : 03 Nov 2018 11:46PM Dikemas Kini : 03 Nov 2018 11:48PM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad berkata, belum ada lagi keputusan oleh Pakatan Harapan (PH) untuk menerima anggota Parlimen (MP) dari Barisan Nasional (BN) secara beramai-ramai dan automatik.

Bercakap kepada media pada Sabtu (3 Nov) selepas mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, Dr Mahathir, yang juga pengerusi PH berkata, PH akan melihat kualiti orang yang hendak menyertainya.

“Anggota (BN) yang cuma nak jadi wakil rakyat dan tidak ada tindakan apa kita akan consider (pertimbang). Tidak akan masuk secara automatik,” katanya.
"Jika MP dari BN tinggalkan parti itu dan menjadi bebas dan menyokong kerajaan dan merayu dengan berlutut yang mereka hendak menyertai PH, barulah PH mungkin mempertimbangkannya,” tambah beliau.

Menurut beliau, ada MP BN yang nyatakan sendiri untuk masuk PH dan antaranya hendak masuk seperti dalam satu kumpulan.

“Itu tak boleh. MP BN masuk satu kumpulan mereka akan jadi besar daripada kita. We don't want to be under them we want to be above them (kita tak mahu di bawah mereka, kita mahu di atas mereka),” katanya.
"Jadi kalau hendak masuk PH seorang demi seorang, setelah mereka (keluar) parti lama mereka jadi bebas dan buat permohonan," kata Dr Mahathir lagi.

Ditanya sama ada PH mempunyai senarai hitam anggota Parlimen BN yang tidak boleh menyertai PH, Perdana Menteri berkata tidak ada sebarang senarai hitam.

Ditanya bagaimana Encik Mustapa Mohamed diterima masuk ke dalam PH, Dr Mahathir berkata Encik Mustapa menemui beliau sejak masih dalam kabinet Encik Najib Razak.

Mengenai perjumpaan beliau dengan anggota Parlimen BN, Perdana Menteri Malaysia itu berkata beliau tidak pernah memanggil sesiapa untuk berjumpa : “Mereka yang hendak datang jumpa saya, saya jumpa. Saya jumpa dengan semua orang even press (malah dengan media) pun saya jumpa."

Mengenai cadangan daripada satu bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia supaya beliau menjadi Perdana Menteri selama sepenggal iaitu lima tahun, Dr Mahathir berkata: "I promise I will step down. I keep my promise (saya berjanji akan undur diri, saya pegang pada janji).

“Adakah saya pada bila-bila masa tidak pegang pada janji saya? Saya satu-satunya diktator yang meletakkan jawatan.”

Ditanya sama ada sebarang ketetapan dibuat mengenai tempoh beliau menjadi Perdana Menteri pada mesyuarat hari ini, Dr Mahathir berkata: “Saya kata dah, saya cuma dua tahun sahaja.

"Tak tahulah kalau dia (Anwar Ibrahim) bagi izin dua tahun setengahlah,” katanya berseloroh sambil memandang Encik Anwar.

Pada sidang media itu, Dr Mahathir turut mengumumkan bahawa Lim Kit Siang kini menjadi anggota dalam Majlis Presiden PH. 

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita