Skip to main content

Dunia

Mahathir: PRK Tanjung Piai jadi amaran banyak perkara tidak disenangi rakyat

Kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai adalah satu amaran, bahawa banyak perkara yang dilakukan tidak disenangi rakyat khususnya yang berkaitan dengan kos sara hidup, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahathir: PRK Tanjung Piai jadi amaran banyak perkara tidak disenangi rakyat

Sidang media selepas mesyuarat khas Majlis Presiden PH berhubung PRK Tanjung Piai pada 23 Nov. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 23 Nov 2019 11:21PM Dikemas Kini : 23 Nov 2019 11:25PM

PUTRAJAYA: Kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai adalah satu amaran, bahawa banyak perkara yang dilakukan tidak disenangi rakyat khususnya yang berkaitan dengan kos sara hidup, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Bercakap kepada media selepas mesyuarat khas Majlis Presiden PH berhubung PRK Tanjung Piai pada Sabtu (23 Nov), Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH berkata, mesyuarat ‘post-mortem’ hari ini menyaksikan setiap parti dalam gabungan itu mengakui kesilapan masing-masing dan akan ambil tindakan sewajarnya.

"Kita semua sedar bahawa keputusan yang buruk ini adalah sebagai satu amaran kepada parti (PH) bahawa banyak perkara-perkara kita lakukan ini tidak disenangi rakyat, terutama berkaitan kos kehidupan,” katanya.

"… dan macam-macam lagi, termasuk tuduhan parti PH ini dikuasai sepenuhnya oleh DAP, itu pandangan orang Melayu, dan orang Cina, yang berpendapat DAP diperkudakan oleh Dr Mahathir dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)," tambah Dr Mahathir.

BEDAH SIASAT TERPERINCI PH

Beliau bagaimanapun mengesahkan partinya sudah mengenal pasti bidang-bidang, serta kalangan mereka yang terlibat untuk mengambil tindakan terhadap apa-apa isu yang diketengahkan untuk diberi perhatian.

"Masing-masing mengaku ada kesalahan daripada pihak mereka dan mencadangkan cara-cara mengatasinya. Memang mesyuarat ini ambil masa yang panjang kerana banyak idea dikemukakan, dan banyak juga teguran-teguran terhadap rancangan kerajaan yang diambil kira oleh menteri-menteri yang ada," katanya.

Dr Mahathir sebelum ini dilaporkan berkata PH akan membuat ‘bedah siasat’ yang terperinci, serius dan jujur di semua peringkat parti bagi mengenal pasti punca sebenar kekalahan pada PRK Tanjung Piai.

PRK Parlimen Tanjung Piai menyaksikan calon Barisan Nasional (BN) Dr Wee Jeck Seng menang dengan majoriti besar 15,086 undi. Beliau memperoleh 25,466 undi, manakala pesaing terdekatnya calon PH, Karmaine Sardini, mendapat 10,380 undi.

KEKALAHAN KERANA GAGAL TUNAI MANIFESTO?

Ditanya sama ada kekalahan itu adalah kegagalan PH dalam menunaikan manifesto dan langkah ke hadapan yang akan dilakukan, Dr Mahathir berkata ada perkara yang akan diambil tindakan oleh kerajaan iaitu menteri Kabinet dan juga oleh parti komponen masing-masing.

"Sudah diberitahu di mana silapnya iaitu kadang-kadang seolah-olah ada perpecahan tetapi perpecahan itu tidak pernah berlaku di peringkat pemimpin, mungkin ada di peringkat ahli biasa yang rasa tidak puas hati, dan tidak tahu fakta sebenar, dan buat teguran," katanya.

Ditanya adakah kelewatan PH melantik penyelaras Parlimen kawasan merupakan antara punca kekalahan PRK Tanjung Piai, Dr Mahathir berkata: "Ada banyak sebab yang mengakibatkan keputusan PRK yang sedemikan. Kita perlu fikirkan semua alasan, bukan sebab isu penyelaras sahaja.

"Banyak lagi isu lain yang diambil kira oleh orang ramai, mungkin mereka berhasrat mengingatkan kita, dan sekarang ini kita sudah diingatkan.” 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita