Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mahathir pertahan dakwaan pesawat disabotaj

Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan dakwaannya bahawa pesawat terbang yang disewa khas kelmarin (27 Apr) disabotaj bagi menghalangnya untuk hadir ke pusat penamaan calon.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahathir pertahan dakwaan pesawat disabotaj

Dr Mahathir di Hari Penamaan Calon. (Gambar: Jack Board)

Diterbitkan : 29 Apr 2018 04:35PM Dikemas Kini : 29 Apr 2018 04:39PM

LANGKAWI: Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan dakwaannya bahawa pesawat terbang yang disewa khas kelmarin (27 Apr) disabotaj bagi menghalangnya untuk hadir ke pusat penamaan calon.

Malaysiakini melaporkan bahawa Dr Mahathir berkata kerosakan serius pada roda hadapan pesawat itu turut diakui oleh Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menerusi kenyataan lembaga itu, semalam (28 Apr).

“Hari ini CAAM anggap tuduhan saya sebagai serius. Saya tak tuduh CAAM, saya cuma nak nyatakan apa yang berlaku yang diakui oleh CAAM sendiri.

“CAAM tahu pesawat itu tak dapat terbang apakah dia disebabkan sabotaj ataupun tidak, tidak boleh ditentukan oleh CAAM sebelum siasatan tapi saya anggap perkara itu sengaja dibuat kerana ada niat untuk menghalang saya jadi calon di Langkawi,” kata mantan perdana menteri itu dalam ucapannya di Dewan Ho Peng, Kuah, Langkawi.

Semalam, CAAM menerusi kenyataannya menafikan pesawat persendirian yang disewa khas oleh Dr Mahathir tidak disabotaj sebaliknya mengalami 'masalah teknikal'.

"Kapal terbang itu tidak dapat diterbangkan kerana masalah kecil dan masalah teknikal, termasuklah kebocoran udara dari tayar kiri," kata Pengerusi CAAM Azharuddin A Rahman.

Encik Azharuddin turut mengkritik dakwaan yang dikeluarkan Dr Mahathir yang menurutnya boleh menjejaskan reputasi penerbangan di Malaysia, menurut laporan Malaysiakini.

Bercakap di hadapan 600 hadirin, calon parlimen Langkawi itu berkata beliau tidak menolak kemungkinan terdapat pihak lain yang dimaklumkan awal berhubung insiden tersebut.

SEOLAH-OLAH ADA PIHAK YANG TAHU TENTANG KEROSAKAN PESAWAT TERLEBIH DAHULU

Dr Mahathir berkata bahawa beliau cuba menghubungi tiga rakannya untuk meminjam pesawat ke Langkawi namun salah seorang daripada mereka memaklumkan kepadanya bahawa beliau diberi amaran untuk tidak meminjamkan pesawat kepadanya.

“Nampak seolah-olah ada pihak yang tahu kecederaan (kerosakan) pada pesawat saya itu dan menentukan tidak ada pesawat lain yang boleh saya pinjam, supaya saya dapat terbang ke Langkawi untuk hadir ke penamaan calon,” kata Dr Mahathir kepada Malaysiakini.

LIMA CALON HARAPAN DIHALANG MENDAFTAR

Sementara itu, berhubung lima wakil calon yang dibatalkan pencalonannya dalam penamaan calon semalam, Dr Mahathir berkata pihaknya akan membawa perkara itu ke mahkamah.

“Tak tentu sebab ada calon HARAPAN yang dihalang dari mendaftar sebagai calon HARAPAN. Kita dapati sebab tak berasas dan kita akan tentukan untuk bawa kes ini ke mahkamah,” katanya.

Lima calon HARAPAN itu adalah Tian Chua (PKR) di parlimen Batu, Pizi Jihat (BERSATU) di DUN Bukit Pasir, Yaakob Osman (BERSATU) di DUN Penaga, Mohd Azihan Che Seman (PKR) di DUN Tawang, dan Mohd Hafidz Amran (PKR) di DUN Kuala Balah.

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan