Mahathir nafi miliki saham kedai roti The Loaf
Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan bahawa beliau tidak memiliki sebarang saham dalam kedai roti premium, The Loaf yang menutup perniagaannya baru-baru ini, menurut laporan Sinar Harian.

Mantan Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamed (Gambar: Reuters/Lai Seng Sin)
BUKIT KAYU HITAM: Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan bahawa beliau tidak memiliki sebarang saham dalam kedai roti premium, The Loaf yang menutup perniagaannya baru-baru ini, menurut laporan Sinar Harian.
Tun Mahathir berkata demikian ketika menjawab pertanyaan media berkaitan laporan kedai roti berkenaan menutup perniagaannya selepas beroperasi selama 12 tahun.
Sebaliknya, Tun Mahathir mendedahkan bahawa beliau hanya mempunyai 200 unit saham dalam sebuah syarikat tembakau dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).
"Saham terbabit dianugerahkan kepada saya selepas merasmikan syarikat itu ketika menjadi perdana menteri sebelum ini," katanya, ketika ditemui selepas ceramah 'Selamatkan Felda! Selamatkan Malaysia' di Felda Bukit Tangga malam semalam (13 Apr)
Sinar Harian melaporkan bahawa sebelum ini, satu notis penutupan The Loaf yang mempunyai 12 cawangan dimuat naik ke media sosial pada 9 April lalu yang ditujukan khusus untuk pelanggan mereka.
Notis itu bagaimanapun tidak menyatakan mengapa ia ditutup. Sebaliknya ia hanya menyatakan bahawa syarikat tersebut berpuas hati berjaya mencapai objektif utamanya.
Sinar Harian selanjutnya melaporkan bahawa ia turut merakamkan penghargaan kepada semua pelanggannya atas sokongan yang diberikan sepanjang 12 tahun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.