Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mahathir mahu kerajaan baru hurai masalah negara

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Selepas berdiam diri sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lalu, Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad pada Rabu (23 Nov) tampil mengeluarkan kenyataan mahu pihak yang menang mendirikan Kerajaan Persekutuan dan memulihkan segala masalah yang dihadapi negara.

Mengakui sedih dengan kekalahan partinya di kesemua 125 kerusi yang ditandingi, beliau bagaimanapun menerima pilihan rakyat. 

“Oleh kerana Pejuang kalah semua 125 kawasan, Pejuang tidak pun dapat menjadi pembangkang dalam dewan (Dewan Rakyat). Segala perancangan Pejuang untuk negara terpaksalah digugurkan.

“Yang boleh dilakukan Pejuang ialah melihat arah pemerintahan pihak yang menang,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik ke Facebook rasminya hari ini.

Dr Mahathir gagal mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi pada PRU15 dan kerusi itu dimenangi calon Perikatan Nasional (PN) Mohd Suhaimi Abdullah yang memperolehi majoriti 13,518 undi.
 
Perdana Menteri keempat dan ketujuh negara itu berkata selepas ini beliau akan menumpukan kepada penulisan berkenaan sejarah dan aktiviti dalam negara.

“Sesungguhnya banyak peristiwa yang berlaku dalam negara belum pun direkod, termasuk apa yang berlaku di zaman British. Saya juga terbuka untuk ditemu duga oleh penulis,” katanya.

Keputusan PRU15 Sabtu lalu menyaksikan Parlimen tergantung apabila tiada mana-mana gabungan parti politik berjaya mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. 

Pada pilihan raya umum itu, Pakatan Harapan memperoleh 82 kerusi, PN (73), Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua), Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi manakala Pejuang gagal memenangi mana-mana kerusi Parlimen.

Pilihan raya bagi kerusi Parlimen Padang Serai, Kedah dan Dewan Undangan Negeri Tioman, Pahang pula akan diadakan semula secara serentak dengan proses penamaan calon esok, pengundian awal pada 3 Disember manakala pengundian 7 Disember ini.
Sumber : Bernama/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan