Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mahathir gesa Bumiputera sandar kepercayaan kepada Bersatu demi capai kemajuan

Dr Mahathir Mohamad meminta kaum Melayu dan Bumiputera untuk meletakkan kepercayaan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diterajuinya untuk menyelamat dan membawa kejayaan kepada mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahathir gesa Bumiputera sandar kepercayaan kepada Bersatu demi capai kemajuan

Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad berucap di Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) kedua Bersatu. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 30 Dec 2018 03:32PM Dikemas Kini : 30 Dec 2018 03:36PM

PUTRAJAYA: Dr Mahathir Mohamad meminta kaum Melayu dan Bumiputera untuk meletakkan kepercayaan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diterajuinya untuk menyelamat dan membawa kejayaan kepada mereka.

Perdana Menteri merangkap pengerusi Bersatu itu menegaskan parti berkenaan tahu bagaimana Melayu dan Bumiputera lain boleh berjaya dan sekali gus menyelamatkan diri mereka sendiri.

"Tak perlu saya ulas di sini bagaimana Bersatu boleh ubah nasib orang Melayu dan Bumiputera. Yang kita minta hanyalah kepercayaan dan kesanggupan menurut cara yang akan diperkenal oleh kita.

"Percayalah, Melayu boleh selamatkan diri mereka sendiri. Percayalah hanya Melayu sahaja yang boleh selamatkan diri mereka sendiri," kata Dr Mahathir ketika menyampaikan ucapan dasar di Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) kedua Bersatu semalam (29 Dis). Turut hadir di perhimpunan itu ialah presiden parti, Encik Muhyiddin Yassin.

Dalam ucapan yang "berterus-terang" itu, beliau berkata kini orang Melayu berada dalam keadaan tidak menentu dan kehilangan haluan menyusuli kekalahan parti yang mewakili mereka sebelum ini, dan berpecah sehingga secara berkesan, tidak wujud lagi.

TIDAK TAKUT DITUDUH RASIS

Dr Mahathir berkata beliau akan dituduh rasis kerana pendedahan berhubung nasib Melayu dan Bumiputera. Namun, beliau merasakan dirinya perlu berbuat demikian kerana selama lebih 70 tahun melihat kemerosotan yang berlaku pada kaum sendiri.

"Tak mengapalah jika diburukkan nama saya asalkan bangsa saya sedar akan nasib buruk yang akan menimpa mereka di masa hadapan. Sedarlah bahawa kita yang salah. Tak usah cari kesalahan orang lain.

"Pemulihan berada di tangan kita. Usaha yang diperlukan tidak sebegitu besar. InsyaAllah pengorbanan kita akan berhasil," kata Perdana Menteri.

Dr Mahathir selanjutnya berkata, beliau menumpukan kepada apa yang akan dilakukan oleh pemimpin politik daripada Bersatu dalam kerajaan Pakatan Harapan.

"Kuasa pemimpin kerajaan ialah untuk memaju dan membangun negara agar rakyat akan hidup lebih selesa dan sempurna," katanya sambil menambah ia bukan untuk mendapat keuntungan bagi diri sendiri.

BERPOLITIK DEMI KEMAJUAN NEGARA

Matlamat yang diperjuangkan, katanya, masih sama iaitu ingin menjadikan Malaysia negara maju setaraf dengan negara maju lain dan tidak hendak menjadi puak yang miskin di negara yang kaya, serta memastikan nikmat dalam negara dikecapi bersama oleh semua kaum.

Bagi yang lemah, Dr Mahathir berkata "tongkat" boleh membantu, namun bantuan seperti ini tidak harus dikekalkan dan perlu digugurkan sebaik sahaja kekuatan kembali semula.

"Kita berpolitik supaya kita tidak lagi akan bergantung kepada politik. Kita berpolitik untuk menyelamat dan membebaskan kita melalui kejayaan sebagai satu bangsa yang mampu bersaing dengan siapa sahaja, tiap seorang dari kita berdaya tahan sendiri tanpa bertongkat," tegasnya.

Menurutnya lagi, pendapat bahawa tongkat adalah tanda kemuliaan adalah salah, sebaliknya yang berdiri tegak dalam menghadapi serta mengatasi cabaran – mereka inilah orang yang mulia.

PAT Bersatu selama tiga hari yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya itu berakhir hari ini (30 Dis). 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan