Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mahathir dikritik guna 'penyepit' gambarkan cabaran asimilasi kaum bukan Melayu di M'sia

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Dr Dominic Lau Hoe Chai mengkritik kenyataan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, mengenai isu penggunaan penyepit sebagai analogi untuk menggambarkan cabaran asimilasi kaum bukan Melayu di Malaysia.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahathir dikritik guna 'penyepit' gambarkan cabaran asimilasi kaum bukan Melayu di M'sia

Bekas perdana menteri Malaysia, Mahathir Mohamad. (Gambar fail: Behrouz Mehri/AFP)

Diterbitkan : 13 Dec 2021 10:37PM Dikemas Kini : 13 Dec 2021 10:41PM

PETALING JAYA: Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Dr Dominic Lau Hoe Chai mengkritik kenyataan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, mengenai isu penggunaan penyepit sebagai analogi untuk menggambarkan cabaran asimilasi kaum bukan Melayu di Malaysia.

Beliau berkata kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu boleh memecahbelahkan hubungan antara kaum di Malaysia yang sudah lama terjalin, lapor Malaysiakini.

“Kenapa perlu bangkitkan isu sedemikian? Malaysia sudah lama hidup dalam satu masyarakat majmuk. Ini keunikan Malaysia.

“Malah semua anak Malaysia menerima di bawah Perkara 3 (1) Perlembagaan memperuntukkan Islam adalah agama Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana,” Malaysiakini memetik kata-katanya dalam satu kenyataan hari ini (13 Dis).

Pada Ahad, media melaporkan, Dr Mahathir membangkitkan apa yang dirasakannya sebagai kesukaran dalam asimilasi penduduk bukan Melayu di negara itu dengan mengambil contoh penggunaan penyepit dalam kalangan masyarakat Cina dan bukannya mengguna cara rakyat Malaysia dengan tangan.

Menurut Dr Dominic Lau, bangsa, budaya dan agama boleh musnah sekiranya sikap tidak menghormati antara satu sama lain itu hilang dalam diri rakyat Malaysia.

Beliau mengharapkan Dr Mahathir menunjukkan contoh teladan yang bijak dan baik dalam politik kerana sudah dua kali menjadi Perdana Menteri serta memegang tampuk tertinggi di Malaysia selama 22 tahun.

“Beliau (Dr Mahathir) seorang tokoh politik yang disegani dan dihormati di Malaysia mahupun luar negara tetapi saya pelik kenapa kenyataan itu dikeluarkan.

“Kesimpulannya saya ingin menyatakan, menghormati antara satu sama lain merupakan kunci utama ke arah melahirkan masyarakat Malaysia yang harmoni dan bersatu padu,” jelas beliau.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, Parti Pejuang menjelaskan bahawa kenyataan Dr Mahathir tentang penggunaan penyepit tidak berniat untuk menyinggungkan perasaan mana-mana rakyat Malaysia.

Kenyataan Dr Mahathir mengenai makan dengan penyepit difahami dan dipolitikkan di luar konteks, kata Ketua Penerangan Pejuang Ulya Aqamah Husamudin, lapor The Malaysian Insight.

Kenyataan itu disebut sebagai menjawab soalan tentang wajar atau tidak Malaysia mencontohi jalan asimilasi yang berlaku di Indonesia, kata beliau, dan bukan untuk menyinggung mana-mana pihak.

Encik Ulya Aqamah berkata analogi itu dibangkitkan untuk menunjukkan contoh betapa keadaan berbeza di Malaysia kerana rakyat Malaysia sangat mengaitkan diri mereka dengan asal usul mereka.

"Isu sebenar yang harus kita ambil daripada komen itu adalah bagaimana kita sudah bersedia untuk berpadu sebagai sebuah bangsa yang saling bekerjasama tanpa membawa sentimen-sentimen Melayu Malaysia, Cina Malaysia, India Malaysia dan lain-lain," ungkap Encik Ulya Aqamah. 

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan