Mahathir dakwa MB Johor berada di perairan neutral, tidak lakukan pencerobohan
Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad berkata Menteri Besar Johor Osman Sapian berada di perairan neutral dan tidak menceroboh wilayah Singapura semasa lawatan ke kapal Malaysia pada 9 Jan.
Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad. (Gambar fail: Lillian Suwanrumpha/AFP)
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad berkata Menteri Besar Johor Osman Sapian berada di perairan neutral dan tidak menceroboh wilayah Singapura semasa lawatan ke kapal Malaysia pada 9 Jan.
Mengakui lawatan Encik Osman ke atas kapal pengawasan Malaysia di pelabuhan Johor itu tanpa kebenaran kerajaan persekutuan, Dr Mahathir berkata beliau terkejut dengan reaksi berhubung perkara berkenaan.
“Reaksi terhadap beliau (Osman) ke sana agak keterlaluan seolah-olah beliau pergi berperang. Maksud saya beliau cuma ke kapal, ke perairan neutral,” katanya sebagai menjawab soalan seorang hadirin selepas menyampaikan syarahan di Oxford Union yang disiarkan secara langsung oleh Astro Awani dari London, hari ini (19 Jan).
Hadirin itu bagaimanapun menegaskan Encik Osman sudah menceroboh perairan wilayah Singapura. Namun Dr Mahathir menegaskan kawasan tersebut adalah perairan antarabangsa.
“Ia bukan perairan Singapura, ia perairan antarabangsa dan Menteri Besar boleh pergi ke perairan antarabangsa tanpa memerlukan Singapura menghantar kapal perang untuk menghalau beliau,” katanya.
Semalam (18 Jan), Kementerian Luar Malaysia mengesahkan ia mencuba menghalang Encik Osman daripada melawat pelabuhan Johor Bahru, lawatan yang didakwa Singapura menyebabkan Encik Osman menceroboh perairannya.
Encik Osman menafikan beliau menceroboh perairan Singapura dan lawatannya ke atas kapal MV Pedoman pada 9 Jan adalah untuk melihat sendiri pasukan keselamatan Malaysia melakukan tugasnya.
Singapura mendakwa Encik Osman menceroboh perairan wilayahnya dan membuat bantahan menerusi nota diplomatik kepada Wisma Putra bertarikh 11 Jan selain menangguhkan mesyuarat ke-14 Jawatankuasa Bersama Menteri bagi Iskandar Malaysia yang dijadualkan pada 14 Jan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.