Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mahasiswa Palestin diberkas semasa temu duga mohon jadi rakyat Amerika

Penguasa imigresen Amerika pada Isnin (14 Apr) memberkas seorang lagi pelajar Universiti Columbia yang menyertai bantahan pro-Palestin di kampus universiti tersebut, menahannya ketika dia menghadiri temu duga untuk menjadi warga Amerika.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahasiswa Palestin diberkas semasa temu duga mohon jadi rakyat Amerika

Penunjuk perasaan berhimpun di luar mahkamah New York. (Gambar: AFP/Charly Triballeau)

Diterbitkan : 15 Apr 2025 10:28AM Dikemas Kini : 15 Apr 2025 10:29AM
NEW YORK: Penguasa imigresen Amerika pada Isnin (14 Apr) memberkas seorang lagi pelajar Universiti Columbia yang menyertai bantahan pro-Palestin di kampus universiti tersebut, menahannya ketika dia menghadiri temu duga untuk menjadi warga Amerika.

Para peguam Mohsen Mahdawi, dalam pemfailan mahkamah memohon pembebasannya dan menghentikan sebarang pengusiran yang akan berlaku, sambil mendakwa tindakan keras Presiden Donald Trump yang semakin meningkat terhadap penunjuk perasaan melibatkan pelajar warga asing melanggar Perlembagaan Amerika -- cabaran kehakiman terbaharu terhadap pentadbiran Encik Trump.

Seorang warga Palestin yang dilahirkan di Tebing Barat, Mahdawi telah menjadi penduduk tetap Amerika yang sah sejak 2015, dan dijangka akan menamatkan pengajiannya pada bulan depan dan merancang untuk menghadiri program sarjana Columbia pada musim gugur ini, menurut pemfailan mahkamah.

Dia adalah pengasas bersama kumpulan pelajar Palestin di Columbia bersama Mahmoud Khalil, wajah gerakan yang juga cuba diusir oleh Encik Trump sejak penangkapannya pada Mac lalu.

"Mohsen Mahdawi dari White River Junction, Vermont, masuk ke pejabat imigresen untuk apa yang sepatutnya menjadi langkah terakhir dalam proses permohonan kerakyatan Amerika. Sebaliknya, dia telah ditangkap dan dibawa keluar dalam keadaan digari oleh individu berpakaian biasa, bersenjata, dengan muka mereka ditutup, "kata Senator Bernie Sanders dalam satu kenyataan yang ditandatangani oleh ahli parlimen Vermont yang lain.

Sebuah video dipercayai dibuat oleh rakan-rakan Mahdawi yang tersebar online menunjukkan ejen-ejen bertopeng mengarahkan seorang individu memasuki kenderaan SUV hitam.

Hakim Daerah William Sessions mengeluarkan perintah sekatan sementara bagi menghalang pihak berkuasa daripada mengekstradisi Mahdawi atau memindahkannya dari Vermont "bergantung kepada perintah selanjutnya" daripada mahkamah, pemfailan mahkamah menunjukkan.

Penahanan Khalil dan pelajar lain yang dikaitkan dengan aktivisme kampus telah mencetuskan kemarahan para penentang Encik Trump, penyokong kebebasan bersuara dan beberapa pihak berhaluan kanan politik, yang mengatakan kes itu akan memberi kesan terhadap kebebasan bersuara.

Para pegawai imigresen juga telah menahan dan cuba mengekstradisi seorang pelajar Universiti Tufts dari Turki, Rumeysa Ozturk, dan pelajar Columbia Yunseo Chung yang merupakan penduduk tetap Amerika yang berasal dari Korea Selatan.

Ekstradisi mereka juga telah disekat buat masa ini oleh mahkamah.

"Mahdawi aktif di kampus Columbia dalam menganjurkan aktiviti untuk Gaza dan Palestin semasa pembunuhan beramai-ramai Israel di Gaza," kata Gerakan Belia Palestin di Instagram.

“Penyasarannya mencerminkan kesinambungan kempen pentadbiran Trump yang bermula dengan penahanan Mahmoud Khalil bulan lalu, dan peningkatan taktik oleh ICE dan DHS untuk menculik dan menahan pelajar dan bukan warga Amerika lain yang lantang menentang pembunuhan beramai-ramai Israel di Gaza.

“Kami menuntut pembebasan segera dan tanpa syarat Mohsen Mahdawi."
Sumber : AFP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan