Skip to main content

Dunia

Mahasiswa Malaysia disyaki dibunuh; polis berkas 3 individu

Anggaran Waktu Membaca:
Mahasiswa Malaysia disyaki dibunuh; polis berkas 3 individu

Maniishapriet Kaur Akhara ditemui maut di Sepang, Selangor pada 24 Jun 2025. (Gamnbar: Facebook/Amazing Sarawak)

SEPANG: Polis menahan tiga individu bagi membantu siasatan menyusuli kes penuntut universiti yang ditemui maut disyaki dibunuh di sebuah kondominium di Cyberjaya pada Selasa (24 Jun) lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman berkata penangkapan terhadap seorang lelaki dan dua wanita berumur 19 hingga 20 tahun itu dibuat semalam dan awal pagi Jumaat (27 Jun) antara pukul 9.00 pagi hingga 2.00 pagi.

"Tangkapan dibuat di sekitar kawasan Johor Bahru, Johor, dan Gemencheh, Negeri Sembilan, dalam masa 48 jam setelah laporan polis diterima.

"Kesemua yang ditahan dipercayai mengenali mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Permohonan reman terhadap kesemua suspek dibuat pagi tadi di Mahkamah Sesyen bagi membantu siasatan. 

Encik Norhizam berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi serta berkongsi maklumat tidak benar yang boleh mengganggu siasatan dan jangan mengambil sebarang tindakan yang boleh melanggar undang-undang.

Sementara itu, ketiga-tiga suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini.

Perintah reman hingga 3 Julai itu dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Sepang Azaraorani Abdul Rahman.

Difahamkan para suspek tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 8.30 pagi dan dibawa keluar kira-kira 9.45 pagi.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita