Maharaja Jepun turun takhta, pertama kali dalam 200 tahun
Buat julung-julung kalinya dalam lebih 200 tahun, maharaja Jepun akan melepaskan takhtanya pada Selasa (30 Apr).
TOKYO: Buat julung-julung kalinya dalam lebih 200 tahun, maharaja Jepun akan melepaskan takhtanya pada Selasa (30 Apr). Dengan itu, anak sulung beliau akan mengambil alih Takhta Kekwa - membuka satu lembaran era baru bagi monarki tertua di dunia itu.
Dalam beberapa upacara penuh takzim, Maharaja Akihito akan menyerahkan takhtanya kepada Putera Mahkota Naruhito yang berusia 59 tahun. Ini sekaligus memulakan era empayar baru 'Reiwa' - membawa erti 'keharmonian indah' - yang akan berterusan sepanjang tempoh pemerintahan raja baru.
Dengan pengunduran bersejarah tersebut, Jepun - terkenal sebagai sebuah negara yang bekerja keras - akan mengadakan cuti 10 hari sebagai tanda meraikan maharaja baru. Percutian yang belum pernah terjadi itu juga digabungkan dengan perayaan tradisional 'Minggu Emas' pada Mei.
Tepat pada jam 5.00 petang waktu tempatan, Maharaja Akihito yang berusia 85 tahun akan turun takhta dalam sebuah upacara singkat di 'Matsu-no Ma' yakni dewan yang dianggap paling indah di Istana Imperial serba mewah.
Bagaimanapun, Putera Mahkota Naruhito hanya akan naik takhta tepat pada tengah malam ini. Beliau bakal mewarisi pakaian kebesaran dalam upacara kedua pada Rabu, pukul 10.30 pagi, sebelum menyampaikan ucapan umum rasmi pertamanya.
Maharaja Akihito menggemparkan para penduduk Jepun apabila beliau mengumumkan pada 2016 tentang hasratnya untuk turun dari Takhta Kekwa, atas sebab usia dan masalah kesihatan yang dihadapinya. Beliau dirawat untuk penyakit barah prostat dan pernah menjalani pembedahan jantung.
Satu majlis mewah dan upacara penabalan awam yang bakal dihadiri oleh para pemimpin dunia akan berlangsung pada 22 Oktober ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.