Skip to main content

Dunia

Maghribi berkabung 3 hari, angka korban gempa lepasi 2,000

Anggaran Waktu Membaca:
Maghribi berkabung 3 hari, angka korban gempa lepasi 2,000

Penduduk ratapi mangsa gempa di Magribi. (Gambar AFP)

Diterbitkan : 10 Sep 2023 12:59PM Dikemas Kini : 10 Sep 2023 01:13PM

RABAT: Jumlah korban gempa bumi kuat yang melanda Maghribi, lewat Jumaat malam, terus meningkat melepasi 2,000 mangsa, manakala lebih 2,000 lagi cedera dengan ramai yang parah.

Kementerian Dalam Negeri Maghribi dalam satu kenyataan, pada Sabtu, berkata sekurang-kurang 2,012 kematian  disahkan dan 2,059 mangsa cedera, termasuk 1,404 berada dalam keadaan kritikal.

Jumlah itu termasuk 1,293 korban yang dicatatkan di wilayah Al-Haouz, yang juga pusat gempa, dan 452 di wilayah Taroudant - dua kawasan paling teruk terjejas dalam bencana gempa bumi paling berdarah sepanjang tempoh lebih enam dekad di Maghribi.

Pihak berkuasa terus bertungkus lumus menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR), termasuk memindahkan mangsa yang cedera, tambah kenyataan itu.

Pekerja menyelamat bertungkus lumus cari mangsa yang terselamat dalam rumah yang runtuh di Moulay Brahim, wilayah Al-Haouz, Maghribi. (Gambar: Fadel SENNA/AFP)

Maghribi turut mengisytiharkan perkabungan negara selama tiga hari.

Gempa sekuat 6.8 magnitud menggegarkanMaghribi pada lewat Jumaat, di kawasan pergunungan, kira-kira 72 kilometer dari barat daya bandar Marrakech, lapor agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) 

Gempa berkenaan dilapor menggegarkan wilayah Al Haouz, Ouarzazate, Marrakech, Azilal, Chichaoua dan Taroudant.

Malah, gegaran itu dilaporkan turut dirasai hingga sejauh Huelva dan Jaen di wilayah Andalusia, selatan Sepanyol.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lebih 300,000 penduduk terkesan di Marrakesh serta kawasan sekitar, manakala Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) menjangkakan usaha menangani impak bencana itu mengambil masa berbulan-bulan atau boleh hingga bertahun-tahun.

Penduduk berkumpul di sebuah kawasan dataran susuli gempa di Marrakesh pada 9 Sep 2023. (Gambar: Fadel Senna/AFP)
Penduduk berkumpul di luar di Marrakesh susuli gempa 6.8 Richter pada lewat Jumaat. (Gambar: Fadel SENNA/AFP)

Seorang penduduk perkampungan Moulay Brahim di Pergunungan High Atlas yang hanya dikenali sebagai Lahcen berusia 40-an tahun, tidak dapat menahan kesedihan susuli kematian isteri dan empat anaknya dalam tragedi itu.

"Saya hilang segala-galanya. Saya tidak berdaya melakukan apa-apa buat masa ini. Saya hanya mahu bersendirian dan meratap," katanya sebak dengan suara amat lemah.

Tiga mayat anak perempuan Lahcen dikeluarkan dari bawah runtuhan kediaman mereka, manakala isteri bersama anak lelakinya masih terperangkap dan dipercayai turut maut, setakat tengah hari semalam. 

Ketika gempa melanda, Lahcen berada di luar kediaman mereka.

Marrakesh dijadual menjadi tuan rumah mesyuarat tahunan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia mulai 9 Okt.

Ketika ditanya tentang mesyuarat itu, jurucakap IMF berkata: "Tumpuan  kami pada masa ini adalah pada rakyat Maghribi dan pihak berkuasa yang menangani tragedi ini."

Sumber : AGENCIES/SU/su
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita