Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

MAFI beri jaminan M'sia belum terjerat krisis makanan

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) pada Isnin (30 Mei) memberi jaminan bahawa bekalan makanan di Malaysia masih mencukupi dan negara itu belum sampai ke peringkat krisis makanan seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Anggaran Waktu Membaca:
MAFI beri jaminan M'sia belum terjerat krisis makanan

Gambar: BERNAMA

Diterbitkan : 30 May 2022 06:16PM Dikemas Kini : 30 May 2022 06:17PM

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) pada Isnin (30 Mei) memberi jaminan bahawa bekalan makanan di Malaysia masih mencukupi dan negara itu belum sampai ke peringkat krisis makanan seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI Badrul Hisham Mohd berkata meskipun terdapat sedikit gangguan pada bekalan makanan, khususnya ayam dan gandum, ia tidak menjejaskan bekalan negara.

“Ini kerana sekitar 94 peratus pengeluaran ayam adalah untuk bekalan tempatan manakala enam peratus sahaja untuk eksport. 

"Secara keseluruhan, negara kita mengeluarkan sekitar 54 juta ekor ayam sebulan dan kapasiti pengeluaran ini boleh menampung keseluruhan keperluan rakyat,” katanya ketika menjadi tetamu hari ini dalam program Koresponden Bernama terbitan Bernama TV yang bertajuk “Krisis Makanan: Apakah Jaminan MAFI Terhadap Sekuriti Makanan Negara ?”.

Selain itu, beliau menambah sekitar 72 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan menternak ayam adalah makanan dan makanan ayam ini diimport dari luar negara seperti Brazil serta Argentina.

“Jagung bijian yang digunakan untuk makanan ayam, kita tidak tanam lagi di Malaysia secara besar-besaran dan oleh sebab itu, MAFI ke arah mengindustrikan jagung bijian supaya kita dapat menyelesaikan isu import jagung bijian dari luar negara,” terangnya. 

Encik Badrul Hisham turut mencadangkan agar pengeluar sawit, misalnya, memperuntukkan sedikit daripada keluasan tanah ladang untuk penanaman jagung bijian sebagai langkah mengurangkan kebergantungan  negara kepada jagung bijian dari luar negara yang memakan kos yang tinggi.

Dalam pada itu, mengulas mengenai isu gandum pula, Encik Badrul Hisham berkata keputusan India mengenakan sekatan eksport gandum tidak memberi kesan memandangkan sumber utama bekalan gandum Malaysia datang dari Australia, Amerika Syarikat dan negara-negara lain.

Menurut beliau lagi, India hanya mengeksport sekitar 1.9 peratus sahaja bekalan gandum mereka untuk pasaran Malaysia. 

Sementara itu, Encik Badrul Hisham berkata MAFI dan Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang berusaha mengatasi isu ini bagi memastikan rakyat mendapat bekalan makanan yang mencukupi.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan