Skip to main content

Dunia

Maduro tuntut kekebalan, gesa hakim Amerika gugurkan tuduhan terhadapnya

Mantan Presiden Venezuela Nicolas Maduro yang digulingkan menggesa seorang hakim Amerika Syarikat pada Rabu (2 Sep) supaya menggugurkan tuduhan jenayah pengedaran dadah yang dikenakan terhadapnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Maduro tuntut kekebalan, gesa hakim Amerika gugurkan tuduhan terhadapnya

Presiden Venezuela yang diberkas, Nicolas Maduro, digiring ketika menuju ke Mahkamah Amerika Syarikat Daniel Patrick Moynihan di Manhattan bagi penampilan pertamanya untuk menghadapi tuduhan persekutuan Amerika, termasuk keganasan melibatkan dadah, konspirasi, pengedaran dadah dan pengubahan wang haram, di Downtown Manhattan Heliport, New York City, pada 5 Januari 2026. (Gambar: REUTERS/Adam Gray)

Diterbitkan : 03 Sep 2026 11:23AM
NEW YORK: Mantan Presiden Venezuela Nicolas Maduro yang digulingkan menggesa seorang hakim Amerika Syarikat pada Rabu (2 Sep) supaya menggugurkan tuduhan jenayah pengedaran dadah yang dikenakan terhadapnya. Maduro berhujah bahawa sebagai ketua sebuah negara berdaulat, dia seharusnya mempunyai kekebalan daripada sebarang bentuk pendakwaan.

Tuduhan yang difailkan di mahkamah persekutuan Manhattan itu menjadi asas bagi serbuan tentera Amerika Syarikat ke Caracas dan penangkapan Maduro pada 3 Januari.

Pemimpin Venezuela itu ditahan di sebuah penjara persekutuan di Brooklyn sejak dia diberkas.

Maduro mengaku tidak bersalah dan dijadual untuk dibicarakan pada 1 Jun 2027 sekiranya usaha untuk menggugurkan kes tersebut gagal.

Prinsip bahawa ketua negara yang masih memegang jawatan mempunyai kekebalan daripada pendakwaan di luar negara merupakan prinsip undang-undang antarabangsa yang sudah lama diamalkan dan dianggap penting bagi hubungan diplomatik. Usaha Maduro untuk meyakinkan Hakim Daerah Amerika Alvin Hellerstein di Manhattan supaya menggugurkan kes tersebut akan menguji keengganan mahkamah Amerika secara umum untuk menerapkan undang-undang antarabangsa dalam kes jenayah.

Peguam Maduro, Barry Pollack, mengemukakan hujah berhubung kekebalan itu dalam satu permohonan untuk menggugurkan tuduhan terhadap anak guamnya. Hakim Hellerstein sebelum ini menetapkan Rabu sebagai tarikh akhir bagi Encik Pollack mengemukakan permohonan tersebut.

Encik Pollack berkata Hakim Hellerstein tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes tersebut kerana ketua negara berdaulat menikmati kekebalan sepenuhnya. Beliau turut berhujah bahawa perbuatan yang didakwa dilakukan Maduro merupakan sebahagian daripada tugas rasminya.

"Pendakwaan yang belum pernah berlaku sebelum ini melanggar kekebalan mutlak daripada bidang kuasa jenayah yang dinikmati ketua negara dan pegawai asing yang bertindak atas kapasiti rasmi mereka sejak ratusan tahun lalu," tulis Encik Pollack.

Encik Pollack turut berkata Maduro dituduh secara palsu dan "menafikan sekeras-kerasnya" tuduhan tersebut.

Seorang jurucakap Pejabat Peguam Amerika di Manhattan, yang mengemukakan tuduhan tersebut, tidak memberikan respons segera kepada permintaan untuk mendapatkan komen.

MADURO BERDEPAN CABARAN BESAR

Para pakar undang-undang memberitahu Reuters bahawa Maduro berdepan cabaran besar untuk menggugurkan kes tersebut. Washington tidak mengiktiraf Maduro sebagai presiden Venezuela sejak 2019. Mahkamah pula lazimnya mengambil kira pendirian presiden Amerika dan anggota kabinetnya dalam pertikaian berhubung pihak yang diiktiraf sebagai pemimpin sesebuah negara asing.

Kes-kes jenayah di Amerika yang melibatkan ketua negara asing amat jarang berlaku. Namun, kes-kes terdahulu tidak banyak memihak kepada Maduro. Pada 1990, seorang hakim persekutuan di Miami menolak percubaan bekas pemimpin tentera Panama Manuel Noriega untuk menuntut kekebalan sebagai ketua negara, antara lain kerana dia tidak pernah memegang jawatan presiden secara rasmi.

Amerika Syarikat berhenti mengiktiraf Maduro pada 2019, apabila beliau mengangkat sumpah selepas pilihan raya 2018 yang menurut Washington dimanipulasikan. Amerika turut menyifatkan pemilihan semulanya pada 2024 sebagai satu penipuan. Maduro menegaskan kedua-dua pilihan raya itu berlangsung secara adil dan sudah lama menuduh Washington berusaha menggulingkannya untuk menguasai kekayaan minyak negara Amerika Selatan itu.

Encik Pollack berhujah bahawa penilaian Washington berhubung kesahihan kedudukan Maduro adalah tidak relevan.

"Tidak seperti dalam kes Noriega, cabang eksekutif tidak mempertikaikan bahawa Maduro merupakan ketua negara Venezuela, sebaliknya hanya mendakwa bahawa selepas 2019, dia tidak memegang jawatan tersebut secara sah," tulis Encik Pollack.

VENEZUELA DITADBIR NAIB PRESIDEN MADURO

Sejak Maduro diberkas, naib presidennya yang juga merupakan sekutu sosialis, Delcy Rodriguez, mentadbir Venezuela dan meningkatkan kerjasama dengan pentadbiran Encik Trump.

Bulan lalu, kedua-dua negara mencapai satu perjanjian yang belum pernah berlaku sebelum ini, yang akan menyaksikan Amerika mengambil alih sekitar satu perlima daripada rizab minyak Venezuela.

Encik Pollack berkata ia "tidak selaras" bagi Amerika untuk mengiktiraf Cik Rodriguez, yang dilantik Maduro, tetapi tidak mengiktiraf Maduro sendiri.

Beliau merujuk kepada kenyataan Cik Rodriguez dan para pegawai pemerintahannya pada Januari dan Februari yang menunjukkan bahawa mereka masih menganggap Maduro sebagai ketua negara Venezuela yang sah.

Pemerintah Cik Rodriguez sejak itu tidak lagi mengulas mengenai perkara tersebut. Beberapa mural Maduro di Caracas juga sudah dicat semula sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Pihak pendakwa mempunyai masa sehingga 2 Oktober untuk memberikan maklum balas terhadap permohonan Maduro untuk menggugurkan tuduhan tersebut. Hakim Hellerstein pula akan mengadakan sesi pendengaran mengenai permohonan tersebut pada 17 November.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita