Skip to main content

Dunia

Madrasah tidak berdaftar di Kelantan disyaki jadi tempat pengubahan wang haram, ajaran sesat

Anggaran Waktu Membaca:
Madrasah tidak berdaftar di Kelantan disyaki jadi tempat pengubahan wang haram, ajaran sesat

Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat. (Gambar fail: BERNAMA)

KOTA BHARU: Polis mengesahkan terdapat maklumat awal berkemungkinan madrasah-madrasah tidak berdaftar di Kelantan digunakan sebagai tempat pengubahan wang haram.

Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat berkata hasil risikan pihaknya mendapati separuh daripada madrasah di negeri berkenaan tidak berdaftar dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Beliau berkata polis sedang memantau beberapa madrasah, pondok dan pusat tahfiz yang tidak berdaftar dengan MAIK bagi mengelak berlakunya penyalahgunaan dana dan penyebaran ajaran sesat.

“Pemantauan ini dilaksanakan bagi memastikan tiada aktiviti mencurigakan termasuk penyalahgunaan derma atau ‘saham akhirat’ yang berpotensi menjadi kegiatan pengubahan wang haram.

“Kami bimbang ada pihak tidak bertanggungjawab menggunakan nama pusat pengajian agama bagi meraih derma jutaan ringgit dengan alasan untuk pembangunan atau kegiatan kebajikan, sedangkan ia mungkin disalah guna,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan pada Selasa.

Encik Mohd Yusoff berkata pihaknya menerima maklumat berhubung segelintir individu dari dalam dan luar Kelantan yang sanggup membayar RM2 juta (S$612,380) dan melabur kepada individu tertentu yang mendakwa mempunyai ‘keistimewaan’ atau berstatus wali bagi tujuan memperoleh keberkatan dan kesejahteraan.

“Ada yang melabur sehingga berjuta-juta berkemungkinan terpengaruh dengan penggunaan kata-kata sehingga menjadi taksub.

“Situasi ini seperti ‘Ayah Pin’ yang baru dan kami mendapati ada kanak-kanak jadi taksub sehingga tidak mahu pulang ke rumah walaupun dijemput ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata polis bekerjasama rapat dengan MAIK serta pihak berkuasa agama negeri bagi mengenal pasti madrasah yang tidak berdaftar dan memantau sebarang unsur penyelewengan atau ajaran menyimpang.

“Saya ingin menasihatkan orang ramai agar menyemak latar belakang institusi agama sebelum menyalurkan derma atau sumbangan.

“Pastikan pusat pengajian berdaftar dengan MAIK dan guru-gurunya mempunyai tauliah yang sah. Kami tidak mahu masyarakat tertipu dengan individu yang menyalahgunakan kedudukan atau gelaran untuk kepentingan peribadi,” katanya.

Beliau turut menegaskan tindakan tegas akan diambil sekiranya wujud bukti jelas mengenai pengumpulan dana secara haram, ajaran sesat atau aktiviti penipuan berasaskan agama di negeri itu.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita