Skip to main content

Dunia

Macron sahkan Perancis akan iktiraf Palestin pada 22 Sep

Presiden Perancis Emmanuel Macron mengesahkan bahawa Perancis akan mengiktiraf Negara Palestin pada 22 September semasa mesyuarat Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York.

Anggaran Waktu Membaca:
Macron sahkan Perancis akan iktiraf Palestin pada 22 Sep

Beberapa kanak-kanak lelaki mengibarkan bendera Palestin. (Gambar fail: AFP/ Mohammed Abed)

Diterbitkan : 21 Sep 2025 07:36AM
MOSKO: Presiden Perancis Emmanuel Macron mengesahkan bahawa Perancis akan mengiktiraf Negara Palestin pada 22 September semasa mesyuarat Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York.

Demikian lapor Sputnik/RIA Novosti.

Sesi ke-80 UNGA sudah bermula di New York pada 9 September. 

Mengikut tradisi, ia akan merangkumi minggu peringkat tinggi, dengan perbahasan umum dijadual berlangsung dari 23 hingga 27 September serta pada 29 September.

“Saya baru sahaja berbincang dengan Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmoud Abbas … Saya menegaskan kembali kepada Presiden Abbas tentang hasrat saya untuk mengiktiraf Negara Palestin pada Isnin di New York,” tulis Macron di platform X pada Jumaat (19 Sep).

Beliau berkata bahawa keputusan itu adalah sebahagian daripada pelan damai lebih menyeluruh bagi rantau berkenaan.

Dalam responsnya, Encik Mahmoud mengesahkan tekadnya untuk melaksanakan pembaharuan yang diperlukan bagi memperbaharui kepimpinan Palestin.

Pada Jumaat, akhbar Politico melaporkan bahawa Israel sedang mempersiap langkah balas terhadap pengiktirafan Palestin oleh Perancis. 

Langkah itu termasuk mempercepat proses penguasaan di Tebing Barat serta menutup konsulat Perancis di Baitulmakdis. 

Seorang diplomat Perancis memberitahu akhbar itu bahawa Paris pada masa sama sedang mempertimbangkan pelbagai senario untuk memberi respons terhadap tindakan Israel.

Negara Palestin kini diiktiraf oleh 147 negara, termasuk Rusia. 

Pada 2024, Amerika Syarikat menggunakan kuasa veto keahlian penuh Palestin di PBB. 

Sejak 2024, sepuluh negara sudah mengiktiraf Palestin, termasuk Ireland, Norway, Sepanyol dan Armenia.

PORTUGAL IKUT SERTA

Sementara itu, Portugal juga akan mengiktiraf Palestin secara rasmi, umum Kementerian Luar pada Jumaat, sekali gus menjadi negara terbaharu mengambil langkah itu menjelang Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu depan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Kementerian Luar mengesahkan bahawa Portugal akan mengiktiraf Negara Palestin … pengisytiharan rasmi pengiktirafan akan dibuat pada Ahad, 21 September,” menurut kenyataan di laman kementerian itu, sambil menegaskan langkah itu dibuat sebelum persidangan peringkat tinggi di New York.

Lisbon sebelum ini menyatakan hasratnya pada Julai lalu, dengan merujuk kepada “perkembangan konflik yang amat membimbangkan,” krisis kemanusiaan di Carikan Gaza serta ancaman berulang Israel untuk menjajah wilayah Palestin.
Sumber : Bernama/NK/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita