Macron, Ketua WHO beri amaran dunia digital pengaruhi kesihatan, perkembangan kanak-kanak
Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus menggesa supaya peraturan terhadap platform digital diperketatkan, sambil memberi amaran bahawa persekitaran digital semakin mempengaruhi kesihatan dan perkembangan kanak-kanak, lapor Anadolu Ajansi.
Logo aplikasi Instagram, TikTok, Snapchat, YouTube, Facebook, Twitch dan Reddit kelihatan terpapar pada skrin sebuah telefon bimbit, dalam gambar yang dirakam pada 9 Disember 2025. (Gambar fail: REUTERS/Hollie Adams)
"Kanak-kanak dan golongan muda bukan bahan eksperimen, bukan pasaran yang terikat atau komoditi," kata mereka dalam satu kenyataan bersama pada Rabu (1 Jul).
"Bersama-sama, kita boleh dan mesti membentuk persekitaran digital yang melindungi serta menyokong perkembangan sihat mereka," tambah kedua-dua pemimpin itu.
Mereka berkata teknologi digital menawarkan peluang besar dalam bidang pendidikan, penjagaan kesihatan dan komunikasi, namun memberi amaran bahawa platform yang tidak dikawal selia dengan baik turut mendedahkan kanak-kanak kepada kandungan berbahaya, maklumat palsu serta pengumpulan data secara berlebihan.
Dalam kenyataan tersebut, mereka turut menarik perhatian bahawa semakin banyak negara termasuk Perancis, Australia, Britain dan Kanada sudah memperkenalkan langkah untuk meningkatkan perlindungan terhadap golongan bawah umur online.
Encik Macron dan Encik Tedros turut menggesa keperluan ketelusan yang lebih tinggi, reka bentuk platform yang mesra kanak-kanak, penyelidikan bebas serta kerjasama lebih erat antara pemerintah, syarikat teknologi dan institusi kesihatan awam.
Mereka turut menegaskan, pendekatan berwaspada perlu dijadikan panduan dalam pembangunan kecerdasan buatan (AI) generatif sehingga kesan jangka panjangnya terhadap kanak-kanak dapat difahami dengan lebih jelas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.