Skip to main content

Dunia

Macron gesa Trump hentikan perang Gaza jika mahu Hadiah Nobel Keamanan

Presiden Perancis Emmanuel Macron menggesa Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump agar menghentikan perang di Gaza jika benar mahu menerima Hadiah Nobel Keamanan, dalam satu kenyataan lantang di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Anggaran Waktu Membaca:
Macron gesa Trump hentikan perang Gaza jika mahu Hadiah Nobel Keamanan

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Perancis Emmanuel Macron di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada 23 September 2025. (Gambar: AFP/Ludovic Marin)

Diterbitkan : 24 Sep 2025 12:08PM
NEW YORK: Presiden Perancis Emmanuel Macron menggesa Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump agar menghentikan perang di Gaza jika benar mahu menerima Hadiah Nobel Keamanan, dalam satu kenyataan lantang di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bercakap kepada saluran BFM TV dari New York, Presiden Macron berkata hanya Trump mempunyai kuasa sebenar untuk mendesak Israel agar menghentikan operasi ketenteraan di Gaza.

“Kami tidak membekalkan senjata yang memungkinkan perang ini diteruskan. Amerika Syarikat melakukannya,” katanya sambil menekankan pengaruh Washington dalam konflik tersebut.

Encik Trump dalam ucapannya di PBB menolak usaha sekutu Barat untuk mengiktiraf negara Palestin, menyifatkannya sebagai “ganjaran kepada Hamas.”

Beliau turut menyatakan hasrat untuk mencapai perdamaian dan mendakwa sudah menyelesaikan tujuh konflik global sepanjang pentadbirannya.

Encik Macron membalas dengan menyatakan bahawa pengiktirafan negara Palestin adalah langkah strategik untuk mengasingkan Hamas dan memperkukuh kedudukan Penguasa Palestin.

“Hadiah Nobel Keamanan hanya satu kemungkinan jika anda dapat menghentikan konflik ini,” tegasnya.

Encik Macron turut menyeru agar semua tebusan dibebaskan, gencatan senjata segera dilaksanakan, dan bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk ke Gaza.

Beliau menekankan bahawa penyelesaian politik adalah satu-satunya jalan keluar yang berkesan, bukan kekuatan ketenteraan semata-mata.

Pengiktirafan rasmi Perancis terhadap negara Palestin awal minggu ini mencetuskan ketegangan diplomatik dengan Israel dan AS.

Namun Encik Macron menegaskan bahawa langkah itu perlu untuk membuka ruang kepada kestabilan serantau dan mengembalikan harapan rakyat Palestin.

Dengan kenyataan berani itu, Encik Macron bukan sahaja mencabar pendekatan Trump terhadap konflik Gaza, tetapi juga meletakkan syarat moral terhadap cita-cita global Encik Trump - bahawa keamanan sejati memerlukan tindakan, bukan sekadar retorik.
Sumber : Reuters/HA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita