Macron dilukis mirip Hitler; uji toleransi Perancis terhadap satira
Michel-Ange Flori, pemilik perniagaan pengiklanan jalanan di Perancis, memutuskan untuk menggunakan beberapa papan iklannya untuk apa yang disebutnya sebagai satira politik: menyiarkan gambar yang menunjukkan Presiden Emmanuel Macron berpakaian seperti Adolf Hitler.
Gambar fail Presiden Perancis Emmanuel Macron (Gambar: Reuters)
PARIS: Michel-Ange Flori, pemilik perniagaan pengiklanan jalanan di Perancis, memutuskan untuk menggunakan beberapa papan iklannya untuk apa yang disebutnya sebagai satira politik: menyiarkan gambar yang menunjukkan Presiden Emmanuel Macron berpakaian seperti Adolf Hitler.
Peguam peribadi Encik Macron dan partinya sekarang sudah memulakan memfailkan tindakan undang-undang yang menuduh bahawa gambaran itu adalah penghinaan awam dan Flori mengatakan dia sudah dihubungi oleh polis yang bertindak menyusuli aduan tersebut.
Kes itu kini menjadi ujian, di mana Perancis menentukan garis had antara kebebasan bersuara dengan menyinggung perasaan.
Ia sangat relevan terutama di sebuah negara di mana majalah satira Charlie Hebdo menerbitkan karikatur Nabi Muhammad, pada asalnya pada 2006, yang dianggap satu penghinaan oleh kebanyakan umat Islam. Negara Perancis mempertahankan hak majalah itu untuk menerbitkan satira tersebut.
"Kami tidak akan menyerah (hak melukis) kartun dan gambar, walaupun yang lain mundur," kata Encik Macron pada 21 Oktober tahun lalu dalam ucapan penghormatannya kepada guru sekolah, Samuel Paty, yang dibunuh oleh seorang remaja Chechnya yang ingin membalas dendam atas tindakan Paty menggunakan kartun itu dalam kelas mengenai kebebasan bersuara.
Flori memasang papan iklan dengan wajah Encik Macron sebagai respons kepada undang-undang yang diluluskan parlimen bulan ini yang melarang orang ramai dari beberapa tempat awam kecuali jika mereka sudah lengkap mendapatkan vaksin COVID-19 atau dapat menunjukkan keputusan negatif ujian terbaru.
Sebilangan penentang Encik Macron menyifatkan peraturan itu sebagai mengongkong kebebasan sivil dan menuduh presiden itu bertindak seperti diktator; pihak pentadbiran pula menegaskan bahawa ia perlu mendorong sehingga kadar vaksinasi lebih tinggi.
Flori, yang papan iklannya terpampang di sekitar wilayah asalnya di selatan Perancis, berkata bahawa negaranya rata-rata berpihak dengan Charlie Hebdo.
"Tetapi apabila mengejek presiden dengan menggambarkannya sebagai diktator, ia tiba-tiba menjadi perbuatan menyinggung perasaan, ia kemudian tidak boleh diterima," katanya dalam wawancara dengan Reuters, menyindir pengkritiknya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.