Macron beri isyarat kemunculan Celine Dion di majlis perasmian Sukan Olimpik
(Gambar fail: ANGELA WEISS / AFP)
PARIS: Presiden Perancis Emmanuel Macron mencadangkan bahawa penyanyi Celine Dion akan membuat kemunculan di majlis perasmian Sukan Olimpik Paris pada Jumaat (24 Jul), lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Dion yang berasal dari Kanada adalah antara penyanyi berbahasa Perancis paling terkenal sepanjang zaman, menghidap penyakit autoimun yang jarang berlaku dan tidak membuat persembahan selama bertahun-tahun.
Ia akan menjadi "berita baik" jika beliau dapat membuat persembahan pada majlis itu di Sungai Seine di tengah-tengah ibu negara Perancis, kata Presiden Macron kepada TV France 2, "kerana beliau adalah seorang artis yang hebat."
Penyanyi berusia 56 tahun itu dikhabarkan berada di bandar Olimpik.
"Nampaknya beliau sudah tiba di Paris," seloroh Presiden Macron, tanpa memberikan butiran lanjut.
Dion yang terkenal dengan lagu "My Heart Will Go On," mengumumkan pada Disember 2022 bahawa beliau didiagnosis dengan sindrom orang kaku.
Baru-baru ini, beliau berkata dalam temu bual TV bahawa keadaan itu boleh menyebabkan kekejangan otot di mana-mana bahagian badan, menyebabkan tangannya atau kakinya menjadi kaku, contohnya.
Beliau berdepan masalah berjalan dan menyanyi.
Majlis perasmian Olimpik Paris dijadualkan bermula 7.30 malam waktu tempatan pada Jumaat (26 Jul) atau 1.30 pagi Sabtu, waktu Singapura. Namun, acara bola sepak dan ragbi bermula pada 24 Jul. Majlis penutup pula dijadual berlangsung pada 11 Ogos.
Singapura diwakili 23 atlet dalam 11 sukan. Pembawa bendera Singapura bagi temasya Sukan Olimpik Paris 2024 ialah ratu pecut, Shanti Perera dan atlet sukan kapal layar Ryan Lo.
Anda boleh ikuti aksi atlet Team Singapore dalam Sukan Olimpik Paris secara langsung dan percuma, menerusi wadah meWATCH.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.