Skip to main content

Dunia

Macklemore umum siri jelajah 'Free Palestine' selepas digugurkan daripada konsert Ed Sheeran

Penyanyi rap Amerika Syarikat Macklemore, yang digugurkan daripada konsert jelajah penyanyi Britain Ed Sheeran selepas membuat kenyataan menyokong Palestin, mengumumkan pada Khamis (24 Sep) bahawa beliau akan mengadakan konsert jelajahnya sendiri yang dinamakan 'Free Palestine Tour'.

Anggaran Waktu Membaca:
Macklemore umum siri jelajah 'Free Palestine' selepas digugurkan daripada konsert Ed Sheeran

Penyanyi rap Amerika Syarikat Macklemore membuat persembahan di pentas utama Gurtenfestival edisi ke-42 di Bern, Switzerland, pada 16 Jul 2025. (Gambar: AP/Anthony Anex)

Diterbitkan : 25 Sep 2026 08:45AM
  • Macklemore digugurkan daripada jelajah Ed Sheeran di Amerika Syarikat selepas melaungkan sokongan kepada Palestin di New Jersey, namun Sheeran berkata keputusan itu dibuat penganjur.
  • Penyanyi rap itu kemudian mengumumkan 'Free Palestine Tour' pada 24 Sep, dengan konsert di London, Paris dan Dublin lewat Oktober serta rancangan di Amerika Syarikat.
  • Beliau berkata hasil jelajah akan disalurkan kepada pertubuhan pro-Palestin, sambil menggesa artis menggunakan pentas untuk kesedaran dan menentang usaha menyekat suara Palestin.
  • Kontroversi itu menekan Sheeran, yang akhirnya mengulas keadaan Gaza di Philadelphia, sementara Finneas dan tiga artis lain menarik diri sebagai solidariti bersama Macklemore.
Dijana oleh AI
NEW YORK: Penyanyi rap Amerika Syarikat Macklemore, yang digugurkan daripada konsert jelajah penyanyi Britain Ed Sheeran selepas membuat kenyataan menyokong Palestin, mengumumkan pada Khamis (24 Sep) bahawa beliau akan mengadakan konsert jelajahnya sendiri yang dinamakan 'Free Palestine Tour'.

Macklemore, yang sebelum ini menjadi artis pembuka tirai konsert jelajah 'Loop Tour' Ed Sheeran, melaungkan "Free Palestine!" dan memberitahu rakyat Palestin bahawa mereka "tidak dilupakan" ketika membuat persembahan di dua konsert di New Jersey awal bulan ini.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu 'Thrift Shop' itu kemudian digugurkan daripada konsert jelajah di Amerika Syarikat. Sheeran berkata keputusan tersebut dibuat oleh pihak penganjur konsert jelajah dan bukan beliau sendiri.

Keputusan itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan pemuzik dan aktivis pro-Palestin.

“Apa yang berlaku pada saya bukan sekadar soal seorang artis atau satu pentas,” kata Macklemore, 43 tahun, menerusi catatan di Instagram.

"Apabila golongan hartawan boleh menentukan suara mana yang dibenarkan di atas pentas dan suara mana yang dianggap terlalu berbahaya untuk didengar, semua orang harus memberi perhatian," tambahnya.

Macklemore mengumumkan tiga konsert di London, Paris dan Dublin pada lewat Oktober, manakala beberapa persembahan di Amerika Syarikat turut dirancang.

Beliau berkata semua hasil daripada konsert jelajah itu akan disalurkan kepada pertubuhan pro-Palestin.

"Sekarang 2026. Bersikap tidak berpolitik ketika berlaku genosid tidak lagi boleh diterima," katanya.

“Orang ramai mahu artis tampil, meningkatkan pemahaman dan bersama masyarakat. Gunakan pentas untuk lebih daripada sekadar hiburan. Bersuara apabila ada usaha untuk menyekat seruan Palestin yang bebas.”

Pengguguran Macklemore daripada konsert jelajah itu turut meningkatkan tekanan terhadap pemenang Anugerah Grammy Ed Sheeran, yang lazimnya mengelak daripada membuat kenyataan politik secara terbuka.

Namun, ketika membuat persembahan di Philadelphia hujung minggu lalu, Sheeran akhirnya bersuara mengenai konflik Israel-Palestin dengan menyifatkan keadaan di Gaza sebagai “amat dahsyat, tidak boleh dibiarkan dan tidak seimbang”.

“Saya terpaksa membuat keputusan yang sukar dan saya akui ada melakukan kesilapan. Saya benar-benar mohon maaf,” kata Sheeran dengan penuh emosi kepada penonton, yang menyambut kata-katanya dengan sorakan.

Empat artis lain yang dijadualkan membuat persembahan pembuka tirai, termasuk penyanyi Amerika Syarikat Finneas, turut menarik diri daripada konsert jelajah Sheeran sebagai tanda solidariti bersama Macklemore.
Sumber : AFP/NU/nu
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita