M'sia usul bina pusat lepak bagi perangi dadah
Kajian terperinci dan mendalam perlu dijalankan untuk melaksanakan dengan sebaiknya cadangan perintah berkurung bagi remaja di bawah 18 tahun dalam usaha mengelakkan mereka daripada terjerumus ke dalam kancah dadah.

Seorang lelaki mengambil dadah. (Gambar hiasan: Spencer Platt/Getty Images/AFP)
TASEK GELUGOR: Kajian terperinci dan mendalam perlu dijalankan untuk melaksanakan dengan sebaiknya cadangan perintah berkurung bagi remaja di bawah 18 tahun dalam usaha mengelakkan mereka daripada terjerumus ke dalam kancah dadah.
Menegaskan demikian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia Dr Mujahid Yusof Rawa berkata isu remaja melepak di luar waktu adalah masalah yang 'diwarisi' dan jika ia tidak ditangani boleh mendatangkan masalah lebih buruk.
"Pada saya pertimbangan perlu dibuat… bagi pihak kementerian kami di bahagian agama sedia bekerjasama dalam erti kata membuat pengisian-pengisian kepada remaja untuk kita bentuk peribadi mereka.
Misalnya, bagi menjayakan perintah berkurung itu, suasana yang selesa dan ceria perlu wujud di rumah – bukan rumah yang sempit, seperti flat dua bilik yang menampung ramai anggota keluarga.
Beliau menambah: "Tumpuan dan kajian terperinci perlu dilihat bagi kawasan seperti flat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang hanya ada dua bilik, lepas itu anggota keluarga ramai dan menyebabkan remaja lebih selesa pergi melepak".
PUSAT MELEPAK
Dengan hal sedemilkian (bilik sempit, keluarga ramai), Dr Mujahid selanjutnya berkata beberapa perkara perlu difikirkan tentang bagaimana mengatasi masalah terbabit dengan membuat pengisian-pengisian antaranya membina satu pusat untuk melepak.
"Mungkin ada satu pusat lepak yang kita boleh bantu dengan kementerian dengan pelbagai pengisian.
“Dunia remaja amat rumit, sama ada mereka boleh melepak dengan kawan untuk enjoy, (sertai) sosial media, jika ada (tonton) liga Inggeris di kedai mamak yang ada buat tayangan (skrin) besar pukul 12.00 malam.
“Dia (remaja) nak pi tengok dengan kawan-kawan, maka kita kena perincikan,” kata beliau.
"Tetapi 'whole idea' mestilah tentukan remaja kita tidak terlibat dengan isu sosial dan dadah serta tempat-tempat maksiat,” katanya.
ICELAND JADI MODEL M'SIA
Dr Mujahid berkata di Iceland, larangan tersebut berjaya menurunkan masalah remaja yang suka melepak dan terbabit dengan gejala dadah.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan akan mempertimbangkam secara serius cadangan melaksanakan perintah berkurung bagi remaja di bawah 18 tahun seperti yang dilaksanakan di Iceland untuk mengelakkan mereka terlibat dalam gejala dadah.
Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata Malaysia boleh mengikut model yang dilaksanakan di negara itu, namun banyak perkara perlu dipertimbangkan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.