M'sia usul batas dua penggal bagi jawatan perdana menteri
Kerajaan Malaysia pada Selasa (3 Dis) membentangkan Rang Undang-Undang Parlimen yang mengusulkan had dua penggal bagi jawatan Perdana Menteri.

Gambar fail Dr Mahathir Mohamad memberi ucapan. (Gambar: Valdimir Smirnov/AFP/TASS Host Photo Agency)
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia pada Selasa (3 Dis) membentangkan Rang Undang-Undang Parlimen yang mengusulkan had dua penggal bagi jawatan Perdana Menteri. Ini sedang kerajaan pimpinan Perdana Menteri Mahathir Mohamad berusaha untuk memenuhi ikrar pilihan raya yang bertujuan untuk mencegah penyalahgunaan kuasa.
Pada Mei lalu, Pakatan Harapan meraih kemenangan pilihan raya yang mengejutkan. Ia berlaku sedang rakyat Malaysia marah terhadap kos sara hidup yang tinggi dan persepsi terhadap rasuah yang berleluasa terutama dakwaan bahawa berbilion ringgit sudahpun dijarah daripada dana negara 1MDB, yang diasaskan oleh bekas perdana menteri Najib Razak.
Rang undang-undang itu bertujuan untuk meminda perlembagaan persekutuan bagi menetapkan maksimum dua penggal bagi jawatan perdana menteri dan memerlukan sokongan dua pertiga daripada 222 anggota parlimen sebelum diluluskan. Ia dijadual dibahaskan pada Mac tahun depan.
Pindaan perlembagaan adalah antara ikrar pilihan raya yang dibuat oleh kerajaan pimpinan Dr Mahathir, bertujuan untuk menghapuskan rasuah dan membatasi kuasa perdana menteri.
Najib, yang memegang kuasa selama hampir tiga penggal, menghadapi berpuluh-puluh tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram atas dakwaan bahawa beliau menerima dana kira-kira AS$1 bilion (S$1.3 bilion) dari 1Malaysia Development Berhad. Beliau tidak mengaku bersalah atas segala tuduhan itu.
Mahathir, yang kini menyandang jawatan perdana menteri untuk kali kedua, memegang rekod sebagai Perdana Menteri Malaysia yang paling lama berkhidmat selama 22 tahun selepas pertama kali menyandang jawatan itu dari 1981 hingga 2003.
Apabila ditanya tentang pembentangan rang undang-undang tersebut, Dr Mahathir memberikan respons yang positif, lapor Malay Mail.
"Saya berusia 94 tahun sekarang. Anda mahu saya jadi PM apabila saya berusia 100 tahun?" tanya Dr Mahathir.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.