M'sia usir warga Mesir, Tunisia kerana ancam keselamatan negara
Pihak berkuasa Malaysia mengusir sekumpulan warga Mesir dan Tunisia ke negara asal masing-masing pada 5 Mac kerana mempercayai 'kehadiran mereka boleh mengancam keselamatan negara'.
Polis Malaysia menangkap 9 suspek pengganas di Klang Valley dan Sarawak antara 2 hingga 9 Feb 2019. (Gambar: PDRM)
KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa Malaysia mengusir sekumpulan warga Mesir dan Tunisia ke negara asal masing-masing pada 5 Mac kerana mempercayai 'kehadiran mereka boleh mengancam keselamatan negara'.
Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata enam warga Mesir dan seorang warga Tunisia itu merupakan antara sembilan orang disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas yang ditangkap antara 2 dengan 9 Feb lalu dalam operasi Bahagian Antipengganas, Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sekitar Lembah Klang dan Sarawak.
Dua lagi yang ditangkap merupakan rakyat Malaysia.
Beliau berkata operasi dilancarkan setelah mendapat maklumat daripada beberapa agensi perisikan asing mengenai kehadiran beberapa suspek yang menganggotai Ansar Al-Shariah Al-Tunisia, kumpulan gabungan Al-Qaeda yang disenaraikan sebagai kumpulan pengganas oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Memandangkan kehadiran warga asing ini boleh menjejas keselamatan Malaysia, kesemua suspek berkenaan diusir ke negara asal mereka mengikut Seksyen 9(1) Akta Imigresen 1959/63 pada 5 Mac," kata Mohamad Fuzi dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mereka turut dicadang disenaraihitamkan daripada memasuki Malaysia seumur hidup.
SUSPEK BEKERJA DI INSTITUSI PENDIDIKAN
"Lima suspek warga Mesir yang ditangkap mengaku sebagai anggota Ikhwanul Muslimin yang bertindak membantu menyediakan kemudahan penginapan, pengangkutan, pekerjaan dan membantu membeli tiket penerbangan bagi dua anggota Ansar Al-Shariah Al Tunisia," kata Encik Mohamad Fuzi.
Beliau merujuk kepada penangkapan dua anggota kumpulan pengganas itu, masing-masing warga Mesir dan Tunisia berusia 21 dan 22 tahun, di Kuala Lumpur pada 4 Feb.
Memberikan butiran penangkapan pada 2 Feb di Sarawak, Encik Mohamad Fuzi berkata ia melibatkan seorang lelaki warga Mesir, seorang lelaki dan seorang wanita warga Malaysia. Ketiga-tiganya berusia antara 20 dengan 54 tahun.
Penangkapan pada hari sama di Setapak, Kuala Lumpur melibatkan seorang lelaki warga Mesir berusia 42 tahun yang merupakan tenaga pengajar di sekolah agama di ibu negara.
Penangkapan seterusnya pada 2 Feb dilakukan di Bukit Bintang. Ia melibatkan warga Mesir berusia 24 tahun yang merupakan pelajar sebuah institusi pengajian tinggi di Lembah Klang manakala seorang lagi warga Mesir berusia 28 tahun - pelajar institusi pengajian tinggi di Pantai Timur - ditangkap di Selangor.
M'SIA INGIN DIJADIKAN TEMPAT SELAMAT PENGGANAS
Penangkapan pada 9 Feb di Ampang, Selangor melibatkan lelaki warga Mesir berusia 50 tahun yang bekerja sebagai guru bahasa Arab.
“Operasi ini juga adalah susulan kepada operasi Bahagian Antipengganas, Cawangan Khas pada Apr dan Nov 2018 yang mana dua warga Mesir yang merupakan anggota Ikhwanul Muslimin Mesir ditangkap dan diusir kerana terlibat dalam kumpulan pengganas ISIS serta Al-Qaeda,” kata Encik Mohamad Fuzi.
Beliau seterusnya berkata mereka yang ditangkap dalam operasi pada Feb lalu itu disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).
Ketua Polis Negara berkata siasatan Bahagian Antipengganas, Cawangan Khas mendedahkan pera suspek cuba menjadikan Malaysia sebagai 'safe haven' (tempat selamat), destinasi transit dan pangkalan logistik dengan menyusup masuk ke negara itu melalui pelbagai kaedah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.