Skip to main content

Dunia

M'sia tubuh pasukan petugas khas kaji dakwaan bekas Peguam Negara Tommy Thomas

Kabinet Malaysia bersetuju untuk menubuhkan sebuah pasukan petugas khas siasatan bagi membuat kajian awal sebelum sebarang tindakan seterusnya diambil terhadap dakwaan bekas Peguam Negara Tommy Thomas dalam bukunya ‘My Story: Justice in the Wilderness’.

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia tubuh pasukan petugas khas kaji dakwaan bekas Peguam Negara Tommy Thomas

Bekas Peguam Negara Malaysia, Tommy Thomas. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 09 Oct 2021 05:39PM Dikemas Kini : 09 Oct 2021 05:40PM

KUALA LUMPUR: Kabinet Malaysia bersetuju untuk menubuhkan sebuah pasukan petugas khas siasatan bagi membuat kajian awal sebelum sebarang tindakan seterusnya diambil terhadap dakwaan bekas Peguam Negara Tommy Thomas dalam bukunya ‘My Story: Justice in the Wilderness’.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata pasukan petugas berkenaan akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara yang akan dilantik dalam masa terdekat.

“Sementara itu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) bertindak sebagai urus setia,” katanya dalam kenyataan hari ini (9 Okt).

Beliau berkata pasukan petugas khas siasatan yang dicadangkan itu antara lain bertujuan untuk menyiasat dakwaan Encik Thomas mengenai penyalahgunaan kuasa dalam isu pelantikan hakim.

Pasukan berkenaan turut akan menyiasat dakwaan campur tangan badan eksekutif melampau dalam badan kehakiman, pendakwaan terpilih dan bersifat politik serta pelanggaran sumpah kerahsiaan.

PM Ismail Sabri berkata jawatankuasa yang dipersetujui oleh Jemaah Menteri akan diberi tempoh selama enam bulan bagi memperoleh dapatan dan cadangan yang akan dibentangkan di dalam mesyuarat Kabinet untuk tindakan susulan.

Pada 28 Feb tahun lepas, Encik Thomas meletakkan jawatannya sebagai Peguam Negara, empat bulan sebelum tempoh kontraknya berakhir berikutan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.

Beliau menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri interim Dr Mahathir Mohamad pada hari sama.

Encik Thomas, 69, dilantik oleh Dr Mahathir pada 4 Jun 2018 bagi tempoh dua penggal untuk menggantikan Encik Mohamed Apandi Ali selepas kerajaan Barisan Nasional tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Tempoh jawatan Encik Thomas sepatutnya berakhir pada Jun 2020.

Encik Thomas yang merupakan seorang peguam kanan telah menerbitkan buku bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’, pada awal tahun ini.

Buku itu menerima banyak kritikan daripada pelbagai pihak antaranya Jabatan Peguam Negara, peguam, ahli politik dan orang awam kerana didakwa mengandungi unsur hasutan, penghinaan dan fitnah.

Berikutan itu polis telah menerima lebih 100 laporan terhadap Encik Thomas berhubung penerbitan buku berkenaan. 

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita