M'sia tidak muflis tanpa GST, kata Guan Eng
Pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) oleh kerajaan baru tidak menyebabkan negara menjadi muflis malah mampu bertahan setakat ini, kata Menteri Kewangan Malaysia Lim Guan Eng.
Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng. (Gambar: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) oleh kerajaan baru tidak menyebabkan negara menjadi muflis malah mampu bertahan setakat ini, kata Menteri Kewangan Malaysia Lim Guan Eng.
Beliau berkata sungguhpun GST menjadi pilihan pihak-pihak tertentu yang inginkan pasaran bebas selain khuatir kehilangan pelabur asing, kesan sistem cukai itu membebankan rakyat terutamanya keluarga daripada golongan berpendapatan rendah.
"Sungguhpun kerajaan baharu telah memansuhkan GST, setakat ini Malaysia belum jadi bankrap. Kita masih boleh bertahan lagi, ia membuktikan sememangnya kita mampu bertahan tanpa GST," katanya ketika menggulung perbahasan rang undang-undang GST di Dewan Negara pada Isnin (20 Ogos).
Rang undang-undang itu kemudiannya diluluskan untuk bacaan kali ketiga dengan undian suara majoriti.
Encik Lim menjelaskan terdapat banyak aduan diterima sejak GST diperkenalkan dan ia menunjukkan sistem cukai itu memberi kesan yang besar ke atas kehidupan dan kos hidup rakyat terutamanya kesejahteraan ekonomi mereka.
Dewan Negara turut meluluskan Rang Undang-Undang Cukai Perkhidmatan 2018. Encik Lim ketika menggulung perbahasan berkata kerajaan menetapkan supaya kantin sekolah dikecualikan cukai perkhidmatan.
Bagaimanapun, katanya penyedia perkhidmatan dan restoran di universiti tetap dikenakan cukai perkhidmatan kerana mengambil kira faktor pelanggan yang pelbagai.
"Kalau kita tengok Universiti Malaya atau universiti lain, ada satu ‘establishment’ agak besar di mana pelanggannya terdiri daripada bukan saja pelajar tetapi pensyarah, profesor dan sebagainya.
"Itu sebabnya pihak kastam merasakan elok dikenakan cukai perkhidmatan kerana mereka sudah di tahap ‘establishment’, bukan seperti di sekolah-sekolah," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.