M'sia "tidak" akan lagi tambat ringgit pada dolar AS, kata Najib
Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak meminta para pelabur supaya memanfaatkan ekonomi negara itu, yang kian pulih.
Perdana Menteri Malaysia Najib Razak. (Gambar: REUTERS/Edgar Su)
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak meminta para pelabur supaya memanfaatkan ekonomi negara itu, yang kian pulih.
Beliau berkata demikian hari ini (23 Jan), dengan menekankan bahawa kerajaan Malaysia tidak akan lagi menambat mata wang ringgit pada dolar Amerika.
Semasa perhimpunan para pemimpin perniagaan dan perusahaan, Datuk Seri Najib berkata kerajaannya sudah belajar daripada "kesilapan tadbir urus" dalam dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang disiasat oleh sekurang-kurangnya enam negara.
Pada tahun 1998, semasa krisis kewangan Asia, perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad, yang kini merupakan seteru politik Datuk Najib, menambat mata wang ringgit pada dolar Amerika. Ia kemudian dikekalkan sehingga tahun 2005.
PM Najib berkata langkah menambat mata wang ringgit pada dolar Amerika menyebabkan hilangnya keyakinan dalam kalangan para pelabur global.
"Kami dengan jelas menyatakan bahawa kami tidak akan mengulangi lagi langkah (menambat ringgit pada dolar Amerika) dan (kami) yakin bahawa meskipun akan ada turun naik dalam jangka pendek, namun pada jangka panjang paras ringgit akan mencerminkan kekuatan ekonomi Malaysia," kata Datuk Najib di persidangan yang berlansung di Kuala Lumpur itu.
Ringgit, yang melemah beberapa tahun kebelakangan ini, kian mengukuh lebih 10 peratus berbanding dolar Amerika pada tahun 2017
Dari bulan Julai hingga September, ekonomi negara itu mencatat pertumbuhan 6.2 peratus setahun, paling rancak dalam tempoh lebih tiga tahun.
Encik Najib berkata kerajaannya akan menumpukan perhatian untuk menurunkan defisit fiskal negara dan memastikan hutang kerajaan terkawal.
Ini "penting" untuk memastikan hutang kerajaan terus di bawah paras yang ditetapkan iaitu 55 peratus daripada Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) dan memastikan rating kredit kerajaan "kekal dalam jaluran A"," tambah Datuk Najib.
PELABURAN BESAR DARI CHINA
PM Najib menolak dakwaan oleh para pengkritik bahawa kerajaannya menjejas kedaulatan negara dengan membolehkan pelaburan besar daripada firma-firma China ke dalam projek-projek prasarana utama.
"Paras FDI berbeza bergantung dari masa ke masa dan ketersambungan ini adalah sebahagian daripada dan juga kunci bagi ekonomi yang sihat dan pelbagai," kata beliau.
PM Malaysia itu, yang berdepan cabaran pada tampuk kepimpinannya menyusuli skandal 1MDB, sedang bersiap sedia untuk mengadakan pilihan raya umum, yang harus diadakan menjelang bulan Ogos.
"Terdapat kegagalan dalam syarikat (1MDB), terdapat kesilapan tadbir urus. (Oleh itu) ada sebab wajar untuk (rakyat) bimbang," kata Datuk Najib mengenai skandal itu.
Dapatan siasatan "dipertimbangkan", dengan 1MDB menyaksikan perubahan pengurusan dan operasinya disemak semula, ujar beliau.
1MDB disiasat berhubung isu pengubahan wang haram di negara-negara termasuk Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura.
Dalam tuntutan sivil, Jabatan Kehakiman Amerika mendakwa sekitar AS$4.5 bilion digelapkan dari 1MDB.
Syarikat dana Malaysia itu bagaimanapun menafikan sebarang salah laku dan Datuk Seri Najib, yang juga pengasas 1MDB, menafikan semua dakwaan rasuah ke atas dirinya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.