M'sia teliti hidupkan semula konsep perkongsian pasaran ASEAN
Malaysia akan membincangkan secara dalaman idea mewujudkan industri berat bermodal besar dan berteknologi tinggi di negara-negara ASEAN sebagai usaha menghidupkan semula konsep perkongsian pasaran dalam kalangan anggota pertubuhan itu, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir bercakap kepada media M'sia pada hari terakhir lawatan tiga harinya ke Filipina. (Gambar: BERNAMA)
MANILA: Malaysia akan membincangkan secara dalaman idea mewujudkan industri berat bermodal besar dan berteknologi tinggi di negara-negara ASEAN sebagai usaha menghidupkan semula konsep perkongsian pasaran dalam kalangan anggota pertubuhan itu, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata idea yang lahir ketika ASEAN ditubuhkan pada 1967 itu akan membolehkan negara-negara anggota ASEAN memanfaatkan secara bersama pasaran 600 juta penduduk ASEAN, seterusnya membawa kemakmuran dan pembangunan lebih pantas untuk rantau berkenaan.
“Kita dahulu ada perjanjian antara lima negara ASEAN. Pada masa itu, negara ASEAN cuma lima sahaja (Malaysia, Filipina, Indonesia, Singapura dan Thailand). Kita bahagi-bahagikan industri berat antara kita. Malaysia mendapat industri baja, dan ini kita laksanakan. Demikian juga dengan Indonesia.
“Tetapi negara-negara lain tidak meneruskan industri yang dikenal pasti untuk mereka. Kali ini, kita ingin hidupkan semula konsep itu. Kita bahagikan industri berat dan modal besar, kepakaran dan teknologi kepada sesebuah negara anggota ASEAN supaya dengan itu mereka akan dapat pasaran ASEAN tetapi perusahaan itu terhad kepada negara masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media Malaysia pada hari terakhir lawatan tiga harinya ke Filipina. Turut hadir dalam sidang akhbar berkenaan ialah Menteri Luar Saifuddin Abdullah dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking.
Dr Mahathir menambah, selepas memperhalusi idea berkenaan, Malaysia akan mencadangkannya kepada negara-negara anggota ASEAN bagi mendapatkan maklum balas mengenai minat mereka terhadap idea itu.
Mengenai keputusan Malaysia untuk menjadi anggota Mahkamah Jenayah Antarabangsa, Dr Mahathir berkata ia perlu kerana sifat jenayah sekarang adalah merentas sempadan dan bukan lagi terhad di dalam sesebuah negara.
Sebagai contoh katanya, jenayah pengubahan wang haram apabila berlaku di sesebuah negara, ia akan turut menjejaskan negara lain dan ini perlu ditangani secara bersama dengan negara-negara lain.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.