Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia tarik balik had jumlah pelanggan duduk semeja di kedai makan

Bermula Rabu (9 Dis) tiada lagi had jumlah pelanggan setiap meja di kedai makan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Malaysia Ismail Sabri Yaakob.

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia tarik balik had jumlah pelanggan duduk semeja di kedai makan

Sebuah kedai makan di Malaysia (Gambar hiasan: BERNAMA)

Diterbitkan : 09 Dec 2020 10:36PM Dikemas Kini : 09 Dec 2020 10:40PM

KUALA LUMPUR: Bermula Rabu (9 Dis) tiada lagi had jumlah pelanggan setiap meja di kedai makan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Malaysia Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata kelonggaran itu yang tertakluk kepada penjarakan fizikal, terpakai di semua kawasan kecuali wilayah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Banyak saranan daripada orang awam (tiada had pelanggan di meja makan) kerana rentas negeri telah dibenarkan dan tiada had penumpang kenderaan, jadi ramai keluar dengan keluarga dan tak munasabah jika terpaksa duduk berasingan di kedai makan," katanya semasa sidang media perkembangan PKP Pemulihan (PKPP) di Wisma Pertahanan hari ini.

Bagaimanapun tegasnya beberapa kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan kerajaan sejak 7 Dis lepas bukan ‘lampu hijau’ untuk seluruh rakyat alpa kerana pandemik COVID-19 masih belum berakhir.

Encik Ismail Sabri turut mengingatkan orang ramai khususnya yang pulang ke kampung menjelang sambutan Hari Krismas, agar sentiasa mematuhi semua SOP yang ditetapkan bagi mengelakkan penularan jangkitan pandemik itu.

AKTIVITI SOSIAL MASIH TIDAK DIBENARKAN DI KAWASAN PKPB

"Kita menuju ke arah lebih banyak pembukaan (sektor) dan kelonggaran (SOP) kerana seperti kita tahu PKPP akan berakhir pada 31 Dis tetapi kerajaan belum buat keputusan yang seterusnya (lanjut atau tamat PKPP).

"Kita tidak selamanya terikat dengan peraturan ini (SOP), justeru kita yang bertanggungjawab secara kendiri menjaga kesihatan diri dan keluarga," katanya.

Sementara itu, Encik Ismail Sabri turut menjelaskan walaupun kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri dan daerah di kawasan PKPB, penganjuran aktiviti sosial termasuk majlis perkahwinan masih tidak dibenarkan di kawasan terbabit.

“Ramai yang keliru apabila kerajaan membenarkan rentas negeri dan daerah di kawasan PKPB. Walaupun ada kelonggaran dari segi pergerakan, aktiviti sosial masih tidak dibenarkan.

“Hanya kawasan PKPP dibenar mengadakan majlis perkahwinan, mesyuarat misalnya. Namun perlu patuh SOP yang ditetapkan,” katanya.

KUARANTIN 14 HARI SARAWAK DIPERTIMBANG SEMULA

Susulan kebenaran rentas negeri diumumkan di seluruh negara, Encik Ismail Sabri berkata kerajaan akan berbincang dengan Majlis Keselamatan Negeri Sarawak mengenai pertimbangan semula arahan kuarantin wajib 14 hari apabila tiba di negeri itu.

Beliau berkata kerajaan mengambil maklum keluhan rakyat Sarawak yang mahu pulang meraikan Hari Krismas kali ini namun terpaksa menjalani kuarantin wajib 14 hari seperti yang ditetapkan pihak berkuasa negeri mulai 10 Okt lepas.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya diminta memperincikan beberapa cadangan untuk pertimbangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi pembukaan semula operasi beberapa destinasi pelancongan seperti Zoo Negara dan Legoland di Johor.

Katanya Kementerian Belia dan Sukan juga perlu melakukan perkara sama bagi pertimbangan kebenaran aktiviti sukan seperti bola sepak dan futsal.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan