M'sia tangguh penguatkuasaan VEP, banyak kenderaan S'pura masih tidak dapatkan tag RFID
Malaysia hari ini (3 Jan) menyatakan penguatkuasaan skim Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) ditangguhkan kerana banyak kenderaan Singapura masih belum lagi memasang tag Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).
MUAR, JOHOR: Malaysia hari ini (3 Jan) menyatakan penguatkuasaan skim Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) ditangguhkan kerana banyak kenderaan Singapura masih belum lagi memasang tag Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).
Hanya sekitar 25 peratus kenderaan Singapura berdaftar di bawah skim VEP - atau 60,000 dari lebih 230,000 kenderaan - sudah memasang tag tersebut, menurut Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia.
"Kami sasarkan untuk memastikan yang lain (memasang tag RFID) dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini," kata Ketua Pengarah JPJ Encik Shaharuddin Khali seperti dipetik agensi berita The Star.
Menurut laporan itu, langkah tersebut akan menjejas "semua aliran trafik" di Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Bangunan Sultan Abu Bakar, Johor.
Pada 2007, Malaysia mengumumkan semua kenderaan berdaftar di luar negara yang masuk ke negara itu memerlukan VEP, yang menurutnya bagi menangani kes curi kereta dan sindiket pengklonan. Ini selain mencegah kenderaan-kenderaan dengan denda tertunggak daripada meninggalkan Malaysia.
Kementerian Pengangkutan Malaysia awalnya menyatakan VEP akan dikuatkuasakan bermula Oktober tahun lalu, tetapi kemudian mengumumkan pada September penangguhan pelaksanaan skim tersebut "pada waktu sibuk" bagi kenderaan yang menghala ke luar kota sehingga pemberitahuan lanjut.
Para penumpang dari Singapura mengadu perlu menunggu lama, sukar mengatur janji temu dan kurang mendapat bantuan dari pihak berkuasa Malaysia untuk mendapatkan tag RFID.
Kementerian itu menyatakan ia akan membuka pusat RFID tambahan di Kompleks Sultan Abu Bakar. Buat masa ini, pusat seumpama itu dibuka di RnR Gelang Patah arah Selatan, tempat letak kereta terbuka Plaza Angsana, RnR Pandan dan Plaza Tol Kedai Lima.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pada Oktober bahawa mekanisme baru akan diperkenalkan bagi memudahkan semua kenderaan memasang tag tersebut.
Beliau menambah, VEP hanya akan dikuatkuasakan pada 2020 bagi memastikan semua pemilik kenderaan Singapura mempunyai masa mencukupi untuk membuat persediaan.
Bercakap kepada media pada Jumaat (3 Jan), Encik Shaharuddin berkata jabatan itu mendapat respons positif dari para pemilik kenderaan berdaftar di Singapura yang memahami pentingnya mendaftar vagi VEP-RFID, lapor Malay Mail.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.