Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia putuskan tidak hos CHOGM 2020

Malaysia memutuskan untuk tidak menjadi tuan rumah Mesyuarat Ketua-Ketua Pemerintah Komanwel (CHOGM) 2020 tetapi terbuka untuk menghoskan acara itu pada masa akan datang, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia putuskan tidak hos CHOGM 2020

Datuk Seri Anifah Aman berkata bahawa Malaysia memutuskan untuk tidak menjadi tuan rumah Mesyuarat Ketua-Ketua Pemerintah Komanwel (CHOGM) 2020 tetapi terbuka untuk menghoskan acara itu pada masa akan datang. (Gambar: Anifah Aman/Facebook)

Diterbitkan : 23 Apr 2018 10:43AM Dikemas Kini : 23 Apr 2018 10:48AM

KUALA LUMPUR: Malaysia memutuskan untuk tidak menjadi tuan rumah Mesyuarat Ketua-Ketua Pemerintah Komanwel (CHOGM) 2020 tetapi terbuka untuk menghoskan acara itu pada masa akan datang, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Beliau berkata bahawa disebabkan permintaan yang dibuat oleh beberapa negara anggota Komanwel, penganjuran CHOGM 2020 memang dipertimbangkan oleh Malaysia.

"Bagaimanapun, pada akhirnya, Malaysia telah membuat keputusan untuk tidak menjadi hos," kata beliau semalam (22 Apr).

Datuk Seri Anifah berkata bahawa Malaysia sememangnya akan menjadi hos Sidang Puncak APEC dan mesyuarat berkaitan pada tahun itu dan di samping itu, terdapat negara anggota Komanwel lain yang menyuarakan minat untuk menjadi tuan rumah CHOGM 2020.

"Demi hubungan baik kita dengan negara-negara berkenaan, Malaysia telah memilih untuk tidak menjadi hos dan sebaliknya memutuskan untuk menganjurkan CHOGM pada masa akan datang,” kata beliau.

Kenyataan itu lantas mematahkan artikel Sarawak Report yang menurut beliau cuba mengambil kesempatan daripada ketidakhadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada mesyuarat CHOGM di London.

"Biar saya menekankan satu perkara yang jelas kepada semua – tiada pemimpin politik yang waras dalam masyarakat demokratik yang akan meninggalkan negara untuk menghadiri sebarang mesyuarat di luar negara kurang tiga minggu sebelum pilihan raya umum diadakan," kata Datuk Seri Anifah.

Beliau berkata artikel yang bertajuk “UK calls on Malaysia to accept election monitoring and condemns fake news and boundary law” itu menampakkan tanda-tanda terdesak disebabkan sokongan yang semakin diterima oleh kerajaan dan keadaan pembangkang yang kucar-kacir.

Mengenai persempadanan semula kawasan pilihan raya, Datuk Seri Anifah menarik perhatian bahawa kali terakhir persempadan semula dijalankan ialah 15 tahun lalu.

"Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya melaksanakan tanggungjawabnya di bawah perlembagaan untuk mengkaji semula dan mengesyorkan pindaan, setiap lapan hingga 10 tahun, untuk menjamin keseimbangan kependudukan antara kawasan pilihan raya,” kata beliau.

Beliau seterusnya berkata bahawa Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar disokong oleh 123 anggota parlimen termasuk 10 dari pembangkang sementara 64 undi menentang.

"Ini menunjukkan bahawa lebih ramai wakil rakyat yang dipilih berpegang kepada pentingnya hak kebebasan bersuara, ia harus ada batasan terhadap hak ini dan bahawa ia tidak boleh disalah guna untuk menyebarkan berita palsu atau berita yang tidak disahkan memandangkan kesan negatif yang mungkin timbul akibat penyebarannya," tegas beliau.

Datuk Seri Anifah juga menyangkal dakwaan berhubung pemerhati luar bagi memantau pilihan raya sambil bekata bahawa SPR sudahpun mengundang pemerhati dari 14 negara serta Malaysian Commonwealth Studies Centre of Trinity College, Cambridge yang berpusat di United Kingdom.

Bagaimanapun beliau berkata: "Demokrasi Malaysia akan dipantau oleh pengundi rakyat Malaysia dan pemilih warga malaysia. Untuk menyatakan bahawa orang lain mempunyai hak, keupayaan dan kecekapan adalah satu penghinaan kepada setiap pengundi Malaysia."

Datuk Seri Anifah selanjutnya berkata bahawa pengundi Malaysia terus menarik perhatiannya dengan mesej jelas tentang apa yang mereka mahu untuk diri mereka sendiri dan anak mereka, iaitu ciri-ciri kesopanan dan kebijaksanaan.

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan