M'sia pertimbang tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja siasat dakwaan penyelewengan Tabung Haji
Kerajaan Malaysia akan mempertimbangkan keperluan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan penyelewengan melibatkan Tabung Haji (TH).
Lembaga Tabung Haji. (Gambar: Bernama)
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia akan mempertimbangkan keperluan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan penyelewengan melibatkan Tabung Haji (TH).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata perkara itu akan dibincangkan semasa mesyuarat jemaah menteri dalam masa terdekat.
“Kerajaan amat memahami bahawa dalam meneliti serta menilai segala transaksi yang dilakukan TH, perlunya ada satu badan bebas dan berkuasa.
“Mesyuarat menteri dalam masa terdekat akan membincangkan sedalam-dalamnya berkenaan isu TH termasuk cadangan dan kewajaran penubuhan RCI,” kata beliau ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat pada Isnin (10 Ogos).
Sebelum ini, isu mengenai TH menjadi tumpuan beberapa Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang bertikam lidah mengenainya sehingga menggamatkan persidangan Dewan Rakyat.
Antara perkara berbangkit adalah keperluan menubuhkan RCI untuk menyiasat dakwaan salah laku oleh pengurusan TH yang lalu.
Sementara itu, Dr Zulkifli menegaskan kerajaan akan mencari titik penyelesaian mengenai isu TH yang boleh diterima semua pihak.
“Kerajaan juga akan meneliti dan menilai segala transaksi yang dibuat oleh TH baik yang (dibuat) sebelum ini atau yang akan datang. Fokus kerajaan agar segala operasi TH dijalankan dengan penuh integriti dan amanah,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.